FOTO HIASAN.
FOTO HIASAN.
AFP

Los Angeles: Puluhan warga Iran dan Iran-Amerika dilaporkan disoal siasat berjam-jam di sempadan Amerika Syarikat berikutan ketegangan selepas pembunuhan komander tentera Iran, Qassem Soleimani yang terbunuh dalam serangan dron Amerika Syarikat (AS) di Iraq.

Kumpulan Advokasi Muslim, Majlis Perhubungan Amerika-Islam (CAIR) dilaporkan berkata, pihaknya memberi bantuan kepada lebih 60 pelancong yang ditahan hujung minggu lalu mengenai pandangan politik mereka di sempadan negara Washington dan Kanada.

Ramai antara mereka dilaporkan dihalang memasuki AS atas alasan kekurangan Peronda Kastam dan Sempadan (CBP) untuk menahan mereka.

Seorang wanita berusia 24 tahun dikenal pasti sebagai Crystal oleh CAIR berkata, dia ditahan dan disoal siasat hampir 10 jam dengan keluarganya di sempadan di Blaine, Washington, sebelum dibebaskan, Ahad lalu.

Pengarah Eksekutif CAIR Washington, Masih Fouladi berkata, ketika ditanya mengapa mereka ditahan, anggota CBP memberitahu ketika ini adalah waktu yang tidak tepat memasuki negara itu.

“Tindakan ini menyusahkan dan boleh menyebabkan mereka menjadi pendatang haram walaupun memiliki kerakyatan AS.

“Kami sedang berusaha untuk mengesahkan laporan mengenai tindakan penahanan itu terutama rakyat Iran-Amerika di pelabuhan,” katanya.

Bagaimanapun, pegawai CBP menyangkal dakwaan itu dan mengatakan kelewatan di sempadan berpunca daripada peningkatan lalu lintas kerana musim cuti serta kekurangan kakitangan.

Mereka juga menegaskan agensi itu tidak mengamalkan diskriminasi agama, bangsa atau etnik.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 7 January 2020 @ 11:54 AM