ORANG ramai menaburkan bunga di kubur Wadea Al-Fayoume di Perkuburan Parkholm Cemetery. FOTO REUTERS
ORANG ramai menaburkan bunga di kubur Wadea Al-Fayoume di Perkuburan Parkholm Cemetery. FOTO REUTERS
ORANG ramai membawa keranda jenazah Wadea Al-Fayoume yang maut akibat ditikam. FOTO Kamil Krzaczynski / GETTY IMAGES NORTH AMERICA / Getty Images via AFP)
ORANG ramai membawa keranda jenazah Wadea Al-Fayoume yang maut akibat ditikam. FOTO Kamil Krzaczynski / GETTY IMAGES NORTH AMERICA / Getty Images via AFP)
Agensi

Washington: Suasana pilu menyelubungi tanah perkuburan Yayasan Masjid di Bridgeview, Illinois, pada Isnin ketika upacara pengebumian budak lelaki Palestin-Amerika yang maut ditikam sebanyak 26 kali oleh seorang lelaki disyaki akibat jenayah kebencian tercetus susulan perang Palestin-Israel.

Wadea Al-Fayoume berusia enam tahun dibunuh suspek Joseph Czuba, 71, yang dikatakan polis menyasarkan mangsa dan ibunya kerana mereka adalah warga Amerika Syarikat (AS) yang beragama Islam dan keturunan Palestin.

Kanak-kanak lelaki itu dilaporkan ditikam sebanyak 26 kali dengan pisau ketenteraan yang mempunyai bilah bergerigi sepanjang 18 sentimeter.

Al-Jazeera melaporkan orang ramai berkabung di AS, sebahagiannya berkumpul untuk menghormati Wadea ketika pengebumian berlangsung di Yayasan Masjid di Bridgeview, Illinois, sebuah komuniti di barat daya Chicago yang terdapat sejumlah besar penduduk Palestin.

Penyerang yang disyaki, Czuba sudah didakwa dengan jenayah pembunuhan dan kebencian.

Pengarah Eksekutif Pejabat Majlis Hubungan Amerika-Islam (CAIR) di Chicago, Ahmed Rehab yang sedih dan kesal dengan tragedi itu menyifatkan kejadian akibat kebencian itu adalah mimpi buruk menjadi kenyataan.

"Ini adalah hari yang sukar. Ia adalah mimpi ngeri terburuk yang menjadi kenyataan. Ia adalah sesuatu yang kami cuba beri amaran mengenai kebimbangan mungkin terjadi peristiwa ini.

"Saya sedih kerana anak kecil hanya berusia enam tahun dikorbankan disebabkan suasana perang yang sedang terjadi ketika ini.

"Dia seorang budak yang baik. Sayangkan keluarga, kawan-kawannya. Dia juga suka permainan bola sepak dan bola keranjang. Dia membayar harga sangat tinggi berikutan suasana kebencian," katanya.

Hanaan Shahin, ibu kanak-kanak lelaki itu, diserang oleh Czuba selepas dia berkata mereka harus 'berdoa untuk keamanan' kerana Israel dan Palestin sedang dilanda pertempuran paling dahsyat dalam beberapa dekad.

Czuba kemudian menyerangnya dengan pisau dan apabila dia cuba melarikan diri dengan berlari ke bilik air, dia menemui Wadea dan menikamnya 26 kali, membunuhnya.

Shahin, 32, turut mengalami pelbagai kecederaan tetapi terselamat.

"Kami bukan haiwan, kami adalah manusia. Kami mahu orang melihat kami sebagai manusia, merasakan kami sebagai manusia, berurusan dengan kami sebagai manusia," kata bapa saudara budak itu, Yousef Hannon.

Sekumpulan hadirin melaungkan, "Bebaskan Palestin".

Kumpulan Islam sudah melahirkan kebimbangan sejak dua minggu lalu apabila perang antara Israel dan kumpulan bersenjata Palestin Hamas semakin memuncak.

Ini kerana banyak curahan retorik yang tidak berperikemanusiaan di media sosial yang sebahagiannya menggambarkan rakyat Palestin sebagai ganas dan tidak beradab.

Peguam Negara AS Merrick Garland berkata dalam kenyataan, Jabatan Kehakiman akan membuka siasatan jenayah kebencian persekutuan terhadap serangan itu.

"Insiden ini tidak dapat membantu malah meningkatkan lagi kebimbangan masyarakat Islam, Arab dan Palestin di negara kita berhubung keganasan yang didorong kebencian," kata kenyataan itu.

Kumpulan Yahudi juga menyatakan kebimbangan bahawa kemarahan terhadap peristiwa yang berlaku di Timur Tengah boleh mengakibatkan mereka menjadi sasaran di rumah sendiri.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 17 Oktober 2023 @ 12:33 PM