USAHA mencari dan menyelamat giat dijalankan di lokasi kejadian. FOTO AFP
USAHA mencari dan menyelamat giat dijalankan di lokasi kejadian. FOTO AFP
AFP

TOULOUSE, PERANCIS: Remaja perempuan 15 tahun terbunuh dan beberapa lagi hilang selepas jambatan gantung 150 meter di Mirepoix-sur-Tarn dekat sini, runtuh semalam, menyebabkan sebuah kereta, satu lori dan berkemungkinan satu lagi kereta terjunam ke dalam sungai.

Ibu remaja terbabit antara empat mangsa yang berjaya diselamatkan oleh orang ramai. Mayat remaja perempuan itu sudah ditemui beberapa jam kemudian.

Jambatan merentangi Sungai Tarn itu dihadkan untuk kenderaan 19 tan, dibina pada 1930-an menghubungkan pekan Mirepoix-sur-Tarn dan Bessieres, 30 kilometer dari Toulouse. Ia diperiksa setiap enam tahun dengan kali terakhir pada 2017.

Kira-kira 60 anggota penyelamat, termasuk penyelam dan 40 anggota polis menyertai operasi mencari dan menyelamat yang turut menggunakan helikopter.

Pegawai pihak berkuasa tempatan, Etienne Guyot, berkata jumlah mereka yang hilang masih belum dapat dipastikan.

Antara yang dikhuatiri hilang ialah pemandu lori dan pemandu kenderaan ketiga yang dipercayai sebuah van.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 18 November 2019 @ 8:57 PM