MCCONNELL bersama anaknya. - Agensi
MCCONNELL bersama anaknya. - Agensi
AFP

LONDON: Seorang wanita yang bertukar jantina kepada lelaki sebelum melahirkan anak terpaksa menerima hakikat dia tetap digelar ‘ibu’ selepas Mahkamah Tinggi memutuskan status itu ‘tiada kaitan dengan jantina semata-mata.’

Freddy McConnell, 32, yang dilahirkan perempuan memfailkan prosiding di mahkamah untuk didaftar sebagai bapa anaknya yang dikandungkan dan dilahirkan secara normal walaupun hidup sebagai lelaki sejak beberapa tahun lalu.

Dalam keputusannya, Presiden Bahagian Keluarga Mahkamah Tinggi, Andrew McFarlane berkata: “Wujud perbezaan besar antara jantina seseorang dan statusnya sebagai ibu atau bapa.

“Walaupun status ‘ibu’ dikaitkan dengan perempuan, ia juga status diberikan kepada seseorang yang melalui proses fizikal dan biologi dalam kehamilan seterusnya bersalin.

“Kini dari segi perubatan dan perundangan, memang seorang individu yang diiktiraf dari segi undang-undang sebagai lelaki boleh melahirkan anak (disebabkan biologi badannya).

“Namun, walaupun jantinanya dikategorikan ‘lelaki,’ statusnya sebagai ibu bapa bergantung kepada peranannya secara biologi dalam melahirkan anak itu, iaitu sebagai ‘ibu.’

Pakar perundangan sebelum ini berkata, anak McConnell mungkin menjadi kanak-kanak pertama dilahirkan di England dan Wales tanpa ibu sahih, sekiranya dia berjaya dalam kes itu.

McConnell masih mempertimbangkan sama ada merayu keputusan itu.

Dia memulakan rawatan testosteron pada 2013 sebelum menjalani pembedahan membentuk semula dadanya, tetapi tidak membuang rahim dan sistem reproduktifnya.

Pada 2016 dia menangguhkan rawatan hormon sebelum hamil pada 2017 menerusi penderma sperma.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 27 September 2019 @ 10:30 AM