FOTO hiasan. FOTO Muhammad Zulsyamini Sufian Suri.
FOTO hiasan. FOTO Muhammad Zulsyamini Sufian Suri.
Suriany Awaludin

Bolehkah seorang lelaki mewalikan anak perempuan hasil hubungan luar nikahnya sebelum ini?

Dalam isu ini, anak perempuan itu dibin dengan namanya berikutan dia dilahirkan lebih enam bulan dari tarikh perkahwinan.

Sekiranya boleh menjadi wali tetapi lelaki itu berasa malu, bolehkah dia melantik wali hakim untuk menikahkan anaknya itu?

Ingin Tahu, Ipoh

Isu mem ‘bin’ atau ‘binti,mewalikan atau mempusakai satu sama lain bagi anak tidak sah taraf sememangnya dibincangkan kerana ia mempunyai kesan hukum yang berkaitan antara satu sama lain.

Istilah lelaki yang bersetubuh dengan ibu anak tidak sah taraf itu disebut sebagai bapa biologi.

Ia percantuman benih lelaki dan perempuan secara tabii sehingga melahirkan anak tanpa ikatan perkahwinan atau kaedah yang diluluskan syarak.

Bagi anak yang lahir daripada perkahwinan suami isteri  yang sah disebut sebagai bapa syarie iaitu percantuman benih lelaki dan perempuan yang diikat oleh perkahwinan atau sesuatu kaedah diluluskan syarak.

Terdapat beberapa pandangan dan perbahasan ulama berhubung menasabkan anak daripada hubungan tanpa nikah.

Pandangan jumhur ulama daripada kalangan Syafi’iyyah, Malikiyyah dan Hanabilah berpandangan, tidak boleh bin atau binti anak tidak sah taraf kepada bapa biologi.

Lantaran itu, tidak boleh sama sekali pewarisan dan perwalian antara mereka. Walau bagaimanapun, jika anak itu lahir lebih dari tempoh enam bulan selepas pernikahan ibu bapanya, maka anak itu boleh dinasabkan kepada lelaki yang dikahwini ibunya.

Ia diperuntukkan di dalam Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1984 Seksyen 110.

“Jika seorang perempuan berkahwin dengan seseorang lelaki melahirkan anak lebih daripada enam bulan qamariah dari tarikh perkahwinannya itu atau dalam masa empat tahun qamariah selepas perkahwinannya itu dibubarkan sama ada sebab kematian lelaki itu atau perceraian dan perempuan itu pula tidak berkahwin semula, maka lelaki itu hendaklah disifatkan sebagai bapa anak itu, tetapi lelaki itu boleh dengan cara li’an atau kutukan, menafikan anak itu sebagai anaknya di hadapan Mahkamah.

Terdapat beberapa fatwa dikeluarkan pihak pemerintah atau pentadbir agama Islam sebagai rujukan bagi menjelaskan mengenai anak tidak sah taraf.  

Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali ke-57 (Muzakarah Fatwa Kebangsaan) yang bersidang pada 10 Jun 2003 membincangkan mengenai Anak Tak Sah Taraf.

Muzakarah memutuskan seperti berikut:

Anak tidak sah taraf ialah anak yang dilahirkan di luar nikah sama ada akibat zina atau rogol dan dia bukan daripada persetubuhan syubhah atau bukan anak perhambaan.

Anak dilahirkan kurang daripada enam bulan dua lahzah (saat) mengikut Takwim Qamariah daripada tarikh tamkin (setubuh).

Anak tidak sah taraf tidak boleh dinasabkan kepada lelaki yang menyebabkan kelahirannya atau kepada sesiapa yang mengaku menjadi bapa kepada anak berkenaan.

Oleh itu, mereka tidak boleh pusaka-mempusakai, tidak menjadi mahram dan tidak boleh menjadi wali.

Selain itu, Jawatankuasa Perundingan Hukum Syarak Wilayah Persekutuan pada tarikh 2 Januari 2001 memutuskan dan mewartakan fatwa bahawa: “Anak yang dilahirkan lebih daripada enam bulan qamariah dari tarikh pasangan akad nikah ialah anak sah taraf.”

Seterusnya, Jawatankuasa Fatwa Selangor bertarikh 17 Januari 2005 memutuskan, sighah berkaitan anak tidak sah taraf menurut hukum syarak ialah:

Anak yang dilahirkan tanpa nikah sama ada hasil daripada zina, rogol atau melalui cara sainifik yang bertentangan dengan hukum syarak.

Anak yang dilahirkan kurang daripada enam bulan dua lahzah qamariah dari waktu ‘Imkan ad Dukhul’ dan bukan hasil daripada persetubuhan syubhat.

Anak yang dilahirkan lebih daripada 6 bulan 2 lahzah qamariah dari segi waktu ‘Imkan ad Dukhul’ selepas akad yang sah dan ada bukti dari segi syarak bahawa anak itu ialah anak tanpa nikah melalui iqrar (pengakuan) mereka yang berkenaan (suami dan isteri itu atau salah seorang daripadanya) atau empat orang saksi yang memenuhi syarat-syarat mengikut hukum syarak.

Adalah malang anak itu hasil daripada hubungan yang tidak ada ikatan pernikahan yang sah di sisi syarak walaupun anak itu lahir lebih dari tempoh enam bulan selepas pernikahan ibu bapanya.

Seandainya ibu bapa sendiri mengakui anak itu hasil hubungan tidak sah, sewajarnya pernikahan anak itu menggunakan wali hakim.

Jika ibu bapa anak itu tidak menyedari kewujudan anak di dalam kandungan sebelum pernikahan dan diyakini anak itu wujud selepas akad nikah mereka, maka anak itu boleh dinasabkan dan diwalikan oleh bapanya kerana kelahirannya melebihi tempoh enam bulan selepas nikah iaitu tempoh minimum wanita hamil.

Amalan di Malaysia, anak tidak sah taraf perlu memohon kebenaran mahkamah untuk bernikah dengan menggunakan wali hakim.

Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam setiap negeri ada memperuntukkannya di bawah Seksyen 18.

Dalam permohonan untuk bernikah menggunakan wali hakim, mahkamah akan menyiasat latar belakang anak serta mengambil keterangan ibu atau bapanya.

Seandainya ada pengakuan daripada ibu dan bapanya bahawa anak itu wujud dalam kandungan ibunya sebelum pernikahan, maka pernikahan anak itu akan diperintahkan berwalikan hakim.

Sekiranya bapa itu yakin dengan status anak adalah anaknya tetapi berasa malu untuk bertindak sebagai wali, beliau boleh mewakilkan perwalian kepada jurunikah bertauliah.

Penulis peguam syarie

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 23 Ogos 2018 @ 11:42 AM