GAMBAR hiasan.
GAMBAR hiasan.
Prof Madya Dr Mohd Anuar Ramli

APABILA pihak tertentu mengiklankan kajian berkaitan pengiktirafan gender ketiga, ramai pihak terkejut dan terpanggil untuk menyatakan penolakan terhadap idea yang berdasarkan perjuangan hak asasi manusia versi Barat. Ini kerana idea tersebut dari awal lagi bertentangan dengan nilai agama Islam dan budaya Melayu.

Asas kepada perbincangan gender berbeza daripada seks. Seks adalah rujukan biologi sama ada lelaki atau wanita sedangkan gender merujuk kepada sifat maskulin atau feminin yang berkaitan budaya dan menfokuskan terhadap konstruksi sosial terhadap unsur maskulin dan feminin.

Namun tidak dinafikan, gender ketiga bukan hanya melibatkan aspek psikologi dan konstruksi sosial semata-mata, sebaliknya ia turut mempengaruhi perubahan penampilan yang berlawanan jantina kalangan mereka dan lebih parah ada kalangan mereka yang melakukan pembedahan untuk menukarkan organ seksual untuk menjadi transeksual daripada lelaki kepada wanita dan wanita kepada lelaki.

Dalam masyarakat Islam, sekurang-kurangnya terdapat enam watak yang menggambarkan gambaran kesamaran gender iaitu, pertama, khasis (sida), iaitu lelaki yang dikembiri organ seksual. Kedua, hijrah adalah orang yang dilahirkan dengan organ seks lelaki dan dibesarkan sebagai anak lelaki, tetapi setelah dewasa mereka mengambil identiti wanita. Ada juga kalangan mereka yang dikembirikan. Ketiga, mukhannath iaitu seorang yang secara fizikal lelaki, tetapi suka berpakaian dan bertingkah laku seperti wanita. Keempat, mutarajjilat iaitu seorang wanita yang menyerupai lelaki dalam pakaian, pertuturan dan tingkah laku. Kelima, khunsa, iaitu orang yang mempunyai dua jantina, sama ada khunsa yang jelas atau musykil. Keenam, mamsuh iaitu orang yang tidak mempunyai alat kelamin lelaki atau wanita. Sebahagian ulama memasukkan mereka dalam kategori kelima.

Pada dasarnya, ulama hanya membincangkan dua golongan dengan terperinci iaitu khunsa dan mamsuh kerana dua kumpulan ini dilahirkan dengan ciri seksual yang kabur berbanding empat kumpulan yang lain.

Ulama membincangkan tentang khunsa kerana sifatnya yang tidak jelas dan  harus ditentukan. Ini disebabkan ia melibatkan hukum yang berkaitan kesucian, solat, aurat, haji dan umrah, perkahwinan, harta pusaka, kematian dan hukuman terhadap jenayah. Dalam kitab al-Asyhbah wa al-Naza'ir karangan al-Suyuti umpamanya, jelas tidak wujud golongan gender ketiga ketika membincangkan tentang khunsa.

Ini bukan bermakna dalam  Islam, tiada istilah hak asasi manusia tetapi asas penciptaan manusia yang utama adalah jenis lelaki dan wanita dan tiada istilah terperangkap dalam badan yang salah. Kelompok yang menyimpang daripada jantina asal dan yang tidak berasaskan aspek penciptaan biologi dan seksual, mereka tidak termasuk dalam kelompok khunsa. Sebaliknya mereka tertakluk dalam perbincangan tasyabbuh (penyerupaan), penipuan dan taghyir (perubahan) di samping termasuk dalam perbuatan yang dikategorikan sebagai jenayah (umpamanya liwat). 

Sebagai suatu fenomena sosial, gender bersifat relatif dan kontekstual. Gender yang difahami oleh orang Barat berbeza dengan apa yang difahami dalam masyarakat Timur, juga berbeza pengamalannya dalam kalangan masyarakat Melayu. Senario ini adalah kesan langsung daripada konstruksi sosio-budaya masyarakat yang mencorakkan identiti dan ekspresi gender yang berbeza antara satu sama lain. Perbezaan ini tidak melahirkan kesan diskriminasi dalam hubungan gender dalam masyarakat setempat. Sebaliknya baik anak lelaki atau anak perempuan kedua-duanya mendapat ruang kasih sayang dan peluang pendidikan yang sama. Dalam masyarakat Melayu, golongan gender ketiga dipanggil dengan gelaran mak nyah, pondan, bapuk, darai, lelaki lembut dan sotong bagi transgender lelaki. Manakala untuk transgender wanita, gelaran yang sering diberikan kepada mereka ialah tomboy, pengkid dan abang. Selain itu, panggilan kathoey digunakan di Thailand dan waria dan banci di Indonesia.

Tegasnya, dalam masyarakat Islam, proses konstruksi sosio-budaya adalah bersumberkan petunjuk wahyu iaitu al-Quran dan Sunah selain tradisi serta budaya setempat. Syariat Islam adalah sebuah panduan yang lengkap dalam mengatur hidup manusia. Ia mengatur hubungan manusia dengan Allah dan hubungan manusia sesama manusia. Bagi lelaki dan wanita, kedua-duanya mempunyai kedudukan yang sama di sisi Allah atas amal yang dilakukan. Kelebihan antara satu sama lain adalah berdasarkan kualiti takwa.

Firman Allah SWT dalam surah al-Hujurat ayat 13 yang bermaksud: "Hai manusia, sesungguhnya Kami menciptakan kamu daripada seorang lelaki dan seorang perempuan dan menjadikan kamu berbangsa-bangsa dan bersuku-suku supaya kamu saling kenal-mengenali. Sesungguhnya orang yang paling mulia di antara kamu di sisi Allah ialah orang yang paling takwa di antara kamu."

Terdapat aturan dan akhlak yang khusus dalam hubungan sesama lelaki dan wanita. Contohnya, dalam al-Quran jelas diterangkan dengan suruhan berbuat baik antara lelaki dan wanita, menjaga aurat dan pensyariatan perkahwinan berlawanan jenis. Selain panduan yang berbentuk suruhan, terdapat juga larangan untuk menjaga keharmonian hidup manusia, contohnya larangan berzina, hubungan seks sejenis, pergaulan bebas dengan bukan mahram dan menyerupai atau berpakaian seperti lelaki atau perempuan. Malahan dalam hadis Nabi SAW melarang perbuatan transgender seperti larangan menyerupai lawan jantina, hukuman buang daerah dan kurung, larangan mengubah ciptaan Allah dan larangan melakukan seks sejenis.

Selain ajaran Islam yang komprehensif, konstruksi sosio-budaya ini diperkukuhkan lagi dengan adat tradisi dan budaya masyarakat. Khususnya dalam masyarakat Melayu, adat diterima pakai secara meluas dan mendalam serta merangkumi keseluruhan cara hidup sehinggalah kebiasaan yang terkecil seperti cara makan atau duduk. Ini bererti, dalam masyarakat Melayu, adat memainkan peranan semenjak seseorang individu berada di alam rahim hinggalah ke liang lahad.

Selaras dengan itu, penanaman sistem nilai kesantunan yang berasaskan budi dalam budaya Melayu melahirkan corak dan pola hubungan gender yang berbeza dengan masyarakat lain. Dengan kata lain, proses sosialisasi dalam tradisi Melayu akan menghasilkan manusia budiman yang mempunyai budi pekerti, budi bahasa, budi bicara, akal budi atau hati budi dan adab sopan yang tinggi dan mulia di samping tahu cara berperwatakan sosial yang sesuai dengan jantina masing-masing.

Mereka berperwatakan lemah lembut bukan lemah gemalai. Lazimnya, anak lelaki dididik untuk menjadi maskulin kerana ia akan memikul tanggungjawab sebagai ketua dan pelindung dalam rumahtangga, sedangkan anak perempuan dididik dengan sifat feminin sebagai persediaannya menjadi seorang isteri dan ibu yang baik. Peranan gender ini telah berlangsung sejak dahulu lagi dan diwarisi daripada generasi ke generasi.

Jelasnya, usaha untuk mengiktiraf gender ketiga ini secara terang bertentangan dengan nilai agama Islam dan budaya tempatan. Nilai universalisme hak asasi manusia versi Barat perlu ditapis kesesuaiannya dengan nilai universalisme syariah Islam dan relativisme budaya setempat.

Pemaksaan hak asasi versi Barat ini akan menimbulkan pelbagai implikasi terhadap keharmonian hidup masyarakat dan mengganggu sistem sosial masyarakat yang telah berlangsung baik sejak sekian lama. Apabila perlakuan menyimpang hendak diiktiraf sebagai sesuatu yang normal dan tindakan menormalisasi perkara yang tidak normal, ia bercanggah dengan akal yang sihat. Walaupun dalih yang digunakan melibatkan wanita dan lelaki yang merasakan mereka terperangkap dalam badan yang salah, tetapi kelompok gender ketiga ini sebahagiannya akan terlibat dengan pengubahan tubuh badan melalui pembedahan penugasan semula anggota seksual bagi membetulkan  dan menselaraskan jiwa dan tubuh badan mereka. Perubahan ini dilarang kerana mereka tidak termasuk dalam kategori khuntha musykil.

Di samping itu, tindakan mengiktiraf gender ketiga akan menghalalkan hubungan seks pelbagai jenis yang termasuk di bawah kategori jenayah besar dalam Islam. Tindakan ini akan mengancam kelestarian masyarakat, sekali gus boleh meruntuhkan keutuhan institusi keluarga dan menggugat kesejahteraan sosial masyarakat Islam.

Oleh itu, sewajarnya golongan yang didakwa sebagai gender ketiga perlu dirawat dan dibawa kembali dalam masyarakat untuk hidup mengikut norma yang sihat. Pertembungan antara nilai, etika dan norma hak asasi manusia versi Barat dengan versi Melayu-Islam perlu ditangani dengan sewajarnya. Kita sebagai masyarakat majoriti Islam dan berbudaya Melayu, kenapa mesti tunduk kepada anasir luar yang merendahkan martabat manusia. Sepatutnya, hak asasi manusia yang normal akan membela golongan lelaki dan wanita dan memperkasakan kesetaraan gender kepada golongan yang berhak, bukan menambah tekanan dan persaingan kepada golongan wanita dengan mengiktiraf gender ketiga. 

Penulis pensyarah  Jabatan Fiqh dan Usul, Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya (UM)

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 28 Jun 2021 @ 5:59 AM