PESAWAT Cessna yang selamat mendarat di Lapangan Terbang Jandakot, Perth dengan bantuan arahan menara kawalan. Gambar kecil, Sylvester.
PESAWAT Cessna yang selamat mendarat di Lapangan Terbang Jandakot, Perth dengan bantuan arahan menara kawalan. Gambar kecil, Sylvester.
Agensi

PERTH: Seorang pengawal trafik udara membantu mengajar pelatih juruterbang mendarat pesawatnya pada hari pertama pembelajaran selepas jurulatihnya pengsan di udara.

Max Sylvester pernah menyertai dua sesi latihan sebelum ini tetapi bukan menggunakan pesawat Cessna, dan jurulatihnya Robert Mollard pengsan tidak sampai sejam selepas sesi pembelajaran bermula di Lapangan Terbang Jandakot, Perth, Sabtu lalu lapor BBC.

Dengan bantuan menara kawalan, bapa beranak tiga itu berjaya mendarat dengan selamat, walaupun tidak pernah menerbangkan pesawat bersendirian sebelum ini.

Sylvester mengemudi pesawat selama 50 minit dan berusaha memastikan jurulatihnya kekal tegak selepas tidak sedar diri, lapor Mail Online.

Nine News melaporkan Sylvester berkata: “Dia pengsan dan tersandar di bahu saya. Saya cuba menegakkannya, tetapi dia tetap rebah.”

Bagaimanapun, pengawal lalu lintas udara bertugas dengan tenang memberi arahan kepada Sylvester untuk membolehkannya mendarat dengan selamat dengan disaksikan isteri serta tiga anaknya yang berada di darat.

“Saya mahu menemuinya dan membelanjakan kopi kerana membantu saya ketika detik cemas itu,” katanya.

Mollard yang dipercayai mengalami sawan masih dirawat di hospital dan kini stabil.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 3 September 2019 @ 8:51 PM