GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN
AFP

KAHERAH: Pasukan keselamatan Mesir membunuh 17 militan dalam satu operasi terhadap suspek letupan bom kereta di sini pada minggu lalu yang mengorbankan 20 orang.

Kementerian Dalam Negeri berkata 17 militan itu adalah anggota Hasm iaitu kumpulan bersenjata mempunyai kaitan dengan Ikhwanul Muslim yang diharamkan.

Sebelum ini, Presiden Mesir, Abdel Fattah Al-Sisi menganggap kejadian pelanggaran beberapa kenderaan di Kaherah sebagai tindakan pengganas kerana salah sebuah kereta dipenuhi dengan muatan bahan letupan.

Kejadian Ahad lalu apabila sebuah kereta yang penuh dengan bahan letupan dipandu laju dalam arah berlawanan, melanggar tiga kenderaan lain di luar Institut Kanser Negara di Kaherah.

Menurut Kementerian Kesihatan, sekurang-kurangnya 20 maut dalam kejadian itu.

Pihaknya juga mengenal pasti pemandu kenderaan terbabit sebagai anggota Hasm.

“Pasukan keselamatan berjaya mengesan lokasi anggota Hasm dan membunuh 17 daripadanya, termasuk abang kepada pengebom nekad terbabit, ketika operasi di Kaherah dan Faiyum di selatan ibu negara ini,” kata kementerian.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 9 Ogos 2019 @ 12:19 PM