PASUKAN paramedik merawat seorang wanita yang cedera selepas dilanggar motosikal polis yang mengiringi konvoi Putera William dan isterinya. - Agensi
PASUKAN paramedik merawat seorang wanita yang cedera selepas dilanggar motosikal polis yang mengiringi konvoi Putera William dan isterinya. - Agensi
AFP

LONDON: Seorang nenek berusia 83 tahun berada dalam keadaan serius dan dirawat di hospital, semalam selepas dilanggar sebuah motosikal polis yang mengiringi konvoi kenderaan yang membawa Putera William dan isterinya, Kate.

Pasangan diraja itu dilaporkan dalam perjalanan dari London menuju ke kediaman mereka di Windsor, Isnin lalu apabila sebuah motosikal polis berlanggar dengan mangsa.

Istana Kensington berkata, mereka sangat sedih dan prihatin dengan kejadian itu serta sudah menghubungi mangsa yang dikenali sebagai Irene.

“Pasangan berkenaan menyampaikan ucapan selamat kepada Irene dan keluarganya serta akan terus berhubung sepanjang dia dirawat,” kata istana.

PUTERA William dan Kate.
PUTERA William dan Kate.

Pasangan itu juga dilaporkan mengirimkan bunga kepada Irene yang berada dalam keadaan serius tetapi stabil. The Sun melaporkan, mangsa mengalami patah tulang pelvis.

Seorang saksi memberitahu akhbar itu, wanita berkenaan dilanggar motosikal menyebabkan dia terpelanting dan jatuh di atas lantai.

“Pegawai polis itu sangat sedih tetapi dia menunggang di arah jalan yang salah,” kata saksi.

Pejabat Bebas untuk Tatatertib Polis memberitahu, kes itu disiasat mengikut prosedur yang ditetapkan.

Datuk William, Putera Philip yang juga suami Ratu Elizabeth II juga terbabit dalam satu kemalangan kereta pada Januari lalu apabila kenderaannya melanggar sebuah lagi kereta menyebabkan dua wanita cedera.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 20 Jun 2019 @ 7:30 AM