WILLIAM dan Kate bergambar di halaman kediaman rasmi di London sempena sambutan ulang tahun perkahwinan mereka yang ke-10. FOTO AFP
WILLIAM dan Kate bergambar di halaman kediaman rasmi di London sempena sambutan ulang tahun perkahwinan mereka yang ke-10. FOTO AFP
AFP

London: Pewaris takhta Britain, Putera William dan isterinya, Kate Middleton menyambut ulang tahun perkahwinan mereka yang ke-10 hari ini.

Sempena sambutan itu, Duke dan Duchess of Cambridge tampil berkongsi dua keping gambar mereka yang dirakam di Istana Kensington pada minggu ini.

Gambar pasangan diraja itu diambil jurugambar terkemuka, Chris Floyd yang terkenal dengan potret Britpop tahun 1990-an.

Sekeping gambar memaparkan William dan Kate berdiri bersama di halaman kediaman rasmi di London manakala satu lagi menunjukkan mereka duduk di taman Istana Kensington.

Kedua-dua gambar berkenaan jelas menunjukkan bahawa pasangan itu mempunyai keyakinan dan saling menyayangi antara satu sama lain.

Kate, 39, dilihat memakai baju gaya bohemian yang bercorak biru jenama Ghost berharga 195 pound (RM1,117), manakala William, 38, pula mengenakan pakaian smart kasual iaitu memakai jumper serta baju berwarna biru.

Dalam pada itu, seorang sumber berkata, William berasa bangga terhadap cara isterinya menyesuaikan diri dengan kehidupan diraja sejak 10 tahun lalu.

Pada 29 April 2011, William dan Kate berkahwin dalam satu majlis besar-besaran di Westminster Abbey, London.

Majlis perkahwinan itu dihadiri kira-kira 2,000 tetamu dan ditonton lebih 36.7 juta orang dari seluruh dunia menerusi televisyen.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 30 April 2021 @ 11:24 AM