KATE Middleton. FOTO Agensi
KATE Middleton. FOTO Agensi
Agensi

London: Puteri Wales, Kate Middleton, yang 'hilang' sejak menjalani pembedahan pada Januari lalu dijangka membuat penampilan di khalayak ramai dengan memberi ucapan mengenai kesihatannya apabila kembali bertugas kelak, lapor The Sunday Times memetik sumber diraja.

"Puteri mungkin memaklumkan mengenai pemulihannya.

"Kate dan suaminya Putera William, yang juga pewaris takhta Britain paling terbuka apabila berinteraksi dengan orang ramai.

"Jika pasangan itu akan melakukannya, itulah cara dia akan melakukannya.

"Pasangan itu inginkan ketelusan tetapi hanya akan memberitahu perkara sebenar apabila mereka bersedia", lapor akhbar Britain yang memetik sumber.

Pasangan diraja itu enggan tergesa-gesa dan ia adalah pilihan Kate Middleton, kata sumber kepada The Sunday Times.

Keberadaan Kate Middleton kini tidak diketahui umum.

Ibu kepada tiga anak itu dilaporkan tidak muncul di khalayak ramai selama lebih sebulan dan gambar terbaru yang dikeluarkan oleh Istana Kensington untuk menepis khabar angin mengenai kesihatannya didapati sudah disunting.

Berikutan itu, timbul banyak spekulasi mengenai tahap kesihatannya dan juga teori konspirasi mengenai hubungan pasangan itu.

Bagaimanapun, tiada kenyataan rasmi dikeluarkan keluarga diraja mengenai keberadaan Kate Middleton.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 18 Mac 2024 @ 9:37 AM