TIADA kemusnahan besar dilaporkan selepas gempa bumi berukuran magnitud 6.4 berlaku di Jepun, semalam. FOTO AFP
TIADA kemusnahan besar dilaporkan selepas gempa bumi berukuran magnitud 6.4 berlaku di Jepun, semalam. FOTO AFP
AFP

TOKYO: Jepun menarik semula amaran tsunami hari ini, yang dicetuskan oleh gempa bumi berukuran magnitud 6.4 semalam selepas tiada kemusnahan besar dilaporkan dan hanya menyebabkan cedera ringan.

AFP melaporkan, agensi meteorologi negara itu memberi amaran ombak besar setinggi satu meter mungkin melanda sepanjang pantai Jepun di utara Tokyo namun hanya ombak kecil setinggi 10 sentimeter direkodkan.

Agensi terbabit menarik balik amaran tsunami itu selepas kira-kira dua jam setengah selepas dilanda gempa berkenaan.

Menurut pihak berkuasa tempatan, sekurang-kurangnya 16 orang mengalami kecederaan akibat kejadian itu.

Seorang lelaki di Niigata yang berusia 30an dilaporkan terjatuh dan patah tulang manakala seorang wanita berusia 60an turut cedera akibat terjatuh dari kerusi roda.

Di Yamagata pula, sekurang-kurangnya 12 orang cedera namun pihak berkuasa masih mengumpul maklumat, kata jurucakap pengurusan bencana wilayah itu, Yusuke Niizeki.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 19 Jun 2019 @ 10:47 AM