FOTO HIASAN
FOTO HIASAN
AFP

Tokyo: Jepun mengeluarkan nasihat berkaitan tsunami untuk beberapa kawasan pantai, pada awal pagi Isnin, berikutan beberapa siri gempa bumi cetek di kepulauan Izu di Lautan Pasifik.

Bagaimanapun, ia ditarik balik selepas pakar seismologi mengatakan tiada laporan segera kerosakan kesan daripada ombak kecil susulan siri gempa itu.

Terdahulu, gelombang tsunami yang dianggarkan setinggi 60 sentimeter (sm) melanda pulau Hachijojima yang terletak kira-kira 280 kilometer (km) di selatan Tokyo, manakala di barat wilayah Kochi dan selatan wilayah Miyazaki masing-masing merekodkan 40 sm dan 20 sm, menurut Agensi Meteorologi Jepun (JMA).

Kata agensi itu, tiada kerosakan dilaporkan, kata JMA, namun pihak berkuasa bandar Tateyama di Chiba dekat Tokyo, menggesa penduduk yang mendiami kawasan pantai supaya berpindah susulan nasihat itu.

Pegawai JMA, Toshihiro Shimoyama pada sidang media, turut memberi amaran keadaan itu berbahaya di laut dan kawasan berhampiran pantai.

"Jauhi lautan dan pantai. JMA masih lagi sedang mengenal pasti puncanya walaupun gempa bumi mencetuskan gelombang tsunami," katanya.

Bagaimanapun Pemantauan Geologi Amerika Syarikat (USGS), melaporkan satu siri gempa bumi cetek di pulau Izu, dengan gegaran terkuat pada magnitud 5.4 dicatatkan pada 5.17 pagi waktu tempatan kira-kira 551 km ke selatan Shimoda.

Nasihat terbaharu itu dibuat selepas Jepun memantau tsunami setinggi satu meter berhampiran pulau Izu selepas gempa bumi bermagnitud 6.5, minggu lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 9 Oktober 2023 @ 3:43 PM