KESAN kerosakan akibat gempa bumi di Wajima, wilayah Ishikawa. FOTO Kyodo/ Reuters
KESAN kerosakan akibat gempa bumi di Wajima, wilayah Ishikawa. FOTO Kyodo/ Reuters
Agensi

Tokyo: Pemantauan Geologi Amerika Syarikat (USGS) berkata, terdapat 31 gegaran susulan berikutan gempa bumi bermagnitud 7.5 melanda barat Jepun pada Isnin, yang menyebabkan bangunan runtuh, kebakaran dan mencetuskan amaran tsunami.

Daripada 31 gegaran susulan itu, "gegaran susulan terbesar setakat ini ialah magnitud 6.2 yang berlaku lapan minit selepas gempa bumi awal," kata pakar seismologi USGS Jessica Turner di Colorado, Amerika Syarikat, kepada CNN, pada Isnin.

Menurut Turner, gempa bumi bermagnitud 5.5 berlaku empat minit sebelum gempa bumi paling kuat yang bermagnitud 7.5 itu.

Dalam pada itu, CNN melaporkan empat kereta api berkelajuan tinggi, dihentikan perkhidmatannya apabila gempa bumi kuat melanda Jepun pada Isnin, kini menyambung semula perkhidmatan ke destinasi, menurut penyiar awam Jepun NHK.

Kereta api berkelajuan tinggi itu sebelum ini terkandas di antara bandar Toyama dan Kanazawa tengah Jepun berikutan gempa bumi kuat itu.

Selepas tidak bergerak selama lebih 11 jam, dua kereta api itu tiba di stesen Toyama pada 4 pagi waktu tempatan pada Selasa, kata pegawai. Dua lagi kereta api yang bergerak dalam arah bertentangan tiba di stesen Kanazawa di wilayah Ishiwaka.

Hampir 1,400 penumpang terkandas di dalam kereta api berkelajuan tinggi itu, kata NHK yang memetik Japan Railways West.

Penyiar itu berkata, tiada laporan mengenai sesiapa di dalam kereta api itu menjadi sakit semasa menunggu.

Media melaporkan gempa bumi kuat bermagnitud 7.5 itu mencetuskan ombak setinggi kira-kira satu meter (m) di sepanjang pesisir pantai barat Jepun serta di negara jiran Korea Selatan.

Anggota tentera dihantar untuk membantu operasi menyelamat, manakala sebuah lapangan terbang tempatan ditutup selepas gempa menyebabkan retakan terbuka di landasan.

Pihak berkuasa berkata, sekurang-kurangnya enam orang disahkan terbunuh.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 2 January 2024 @ 9:31 AM