PASUKAN bomba memeriksa rumah kayu yang musnah di Wajima, Ishikawa. FOTO AFP
PASUKAN bomba memeriksa rumah kayu yang musnah di Wajima, Ishikawa. FOTO AFP
AFP

Wajima, Jepun: Pasukan penyelamat bertungkus lumus mencari mangsa yang masih selamat pada Rabu, ketika pihak berkuasa memberi amaran kejadian tanah runtuh dan hujan lebat selepas gempa bumi kuat yang mengorbankan sekurang-kurangnya 55 orang.

Gempa bumi berukuran 7.5 pada skala Richter pada 1 Januari lalu menggegarkan wilayah Ishikawa di pulau utama Honshu serta mencetuskan gelombang tsunami setinggi lebih satu meter, mencetuskan kebakaran besar dan memusnahkan jalan raya.

Semenanjung Noto di wilayah itu paling teruk terjejas, dengan beberapa ratus bangunan musnah akibat kebakaran dan rumah musnah.

Kerajaan wilayah mengumumkan lewat Selasa bahawa 55 orang disahkan maut dan 22 cedera parah.

Bagaimanapun, jumlah korban dijangka meningkat ketika penyelamat bergelut dengan gegaran susulan dan cuaca buruk untuk untuk mencari mangsa di bawah runtuhan.

Lebih 31,800 orang berada di tempat perlindungan, katanya.

Perdana Menteri Fumio Kishida akan mengadakan mesyuarat pasukan petugas kecemasan pagi Rabu untuk membincangkan tindakan yang akan diambil.

Kishida sekali lagi menegaskan pada malam Selasa bahawa 'ia adalah perlumbaan terhadap masa' memandangkan bilangan individu yang mungkin terperangkap dalam bangunan runtuh, menurut penyiar awam NHK.

Operasi itu diberi keutamaan segera kerana Agensi Meteorologi Jepun (JMA) mengeluarkan amaran hujan lebat di Noto.

"Berhati-hati dengan tanah runtuh sehingga petang Rabu," kata agensi itu.

Di bandar pantai Suzu, Datuk Bandar Masuhiro Izumiya berkata, hampir tiada rumah yang tidak runtuh.

"Kira-kira 90 peratus daripada rumah (di bandar) musnah sama sekali atau hampir sepenuhnya... keadaannya benar-benar malapetaka," katanya menurut penyiar TBS.

Seorang wanita di pusat perlindungan di bandar Shika memberitahu TV Asahi bahawa dia 'tidak dapat tidur' akibat gegaran susulan.

"Saya takut kerana kita tidak tahu bila gempa seterusnya akan berlaku," katanya.

Hampir 34,000 isi rumah masih terputus bekalan elektrik di wilayah Ishikawa, kata pihak berkuasa utiliti tempatan.

Banyak bandar tidak mempunyai bekalan air.

Kereta api laju dan lebuh raya Shinkansen sudah beroperasi semula selepas beberapa ribu penumpang terkandas, selama hampir 24 jam.

Kajian Geologi AS berkata gempa itu dengan magnitud 7.5, manakala JMA mengukurnya pada 7.6, mencetuskan amaran tsunami besar.

Gempa kuat itu adalah salah satu daripada lebih 210 yang menggegarkan wilayah itu hingga petang Selasa, kata JMA.

Jepun menarik balik semua amaran tsunami selepas ombak sekurang-kurangnya 1.2 meter melanda bandar Wajima dan beberapa siri tsunami yang lebih kecil dilaporkan di tempat lain.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 3 January 2024 @ 11:13 AM