OMBAK kelihatan di Sungai Sunaoshi  selepas amaran tsunami dikeluarkan berikutan gempa bumi di Tagako di wilayah Miyagi, Jepun, semalam. - Reuters
OMBAK kelihatan di Sungai Sunaoshi selepas amaran tsunami dikeluarkan berikutan gempa bumi di Tagako di wilayah Miyagi, Jepun, semalam. - Reuters
Reuters

Tokyo: Gempa bumi berukuran 7.4 magnitud menggegarkan utara Jepun awal pagi semalam, menyebabkan gangguan terhadap sistem penyejukan di sebuah loji nuklear dan mengakibatkan tsunami kecil du kawasan sama di wilayah Fukushima yang musnah dalam bencana sama pada 2011.

Gegaran yang turut dirasakan di Tokyo itu menyebabkan ribuan penduduk bertempiar menyelamatkan diri dan mencari kawasan tinggi pada jam 5.59 pagi (waktu tempatan) di pantai timur laut negara itu.

Tiada kematian atau kecederaan serius dilaporkan. Pusat gempa dikesan di persisiran Fukushima dengan kedalaman 10 kilometer, lapor Agensi Kaji Cuaca Jepun (JMA).

Ombak setinggi 1.4 meter dicatatkan di Sendai, 70 kilometer ke utara Fukushima, manakala ombak lebih kecil turut membadai pelabuhan di pesisir pantai, lapor badan penyiar NHK.

Rakaman televisyen menunjukkan kapal dilayarkan dari pelabuhan selepas siren tsunami dibunyikan susulan amaran ombak setinggi tiga meter dikeluarkan.

Rakaman video dari udara menunjukkan tsunami kecil di beberapa sungai manakala bot nelayan juga dilihat terbalik di pelabuhan Higashi-Matsushima sebelum JMA menarik balik amarannya.

Pusat Geologi Amerika Syarikat (AS) berkata, gempa bumi itu berukuran 6.9 mag- nitud.

Sementara itu, Menteri Pengurusan Bencana Jun Matsumoto berkata, tiada laporan kecederaan serius diterima tetapi seorang wanita dilaporkan luka di kepala akibat terkena pinggan mangkuk yang jatuh dari rak di rumahnya, lapor Kyodo memetik sumber bomba.

Ketua Bahagian Pengurusan bencana di Iwaki, wilayah Fukushima berkata, sistem amaran dipertingkatkan selepas gempa 2011 untuk menyebarkan amaran kecemasan dengan lebih pantas, termasuk amaran tsunami kepada setiap telefon bimbit di sesuatu kawasan selain menyebarkan makluman melalui radio tempatan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 23 November 2016 @ 9:34 AM