LAM pada sidang media di Hong Kong. FOTO Agensi
LAM pada sidang media di Hong Kong. FOTO Agensi
AFP

HONG KONG: Pemimpin pro-Beijing Hong Kong enggan membatalkan rancangan kontroversi untuk membenarkan ekstradisi ke tanah besar China, hari ini, sehari selepas sejumlah besar penduduk keluar membantah cadangan berkenaan.

Ketua eksekutif Carrie Lam berkata badan perundangan akan membahaskan rang undang-undang itu pada 12 Jun seperti yang dirancang, sekaligus menolak sebarang panggilan untuk menunda atau menarik balik undang-undang.

Cadangan itu bakal ditentang pihak lawan yang bersumpah akan meningkatkan protes jika tuntutan mereka tidak dipenuhi.

Terdahulu, Carrie berkata undang-undang itu dikatakan sangat penting dan membantu menegakkan keadilan serta memastikan Hong Kong memenuhi tanggungjawab antarabangsanya membabitkan jenayah rentas sempadan dan antara negara.

Kerajaan bandar itu mencadangkan satu rang undang-undang yang akan membenarkan ekstradisi ke mana-mana bidang kuasa, termasuk tanah besar China, walaupun masih belum ada sebarang perjanjian dimeterai sehingga kini.

Semalam, sejumlah besar penduduk keluar berarak dalam cuaca panas terik di jalan-jalan utama kota pulau berkenaan, mendesak kerajaan membatalkan undang-undang ekstradisi yang dirancang.

Penganjur berkata jumlah itu mencecah jutaan orang dan setakat ini dianggap sebagai protes terbesar sejak penyerahan Hong Kong kepada China pada 1997.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 10 Jun 2019 @ 4:08 PM