Kapal pengangkut pesawat Amerika yang bersiap sedia dekat Semenanjung Korea dengan Korea Utara berterusan melakukan ujian tembakan peluru berpandu.
Kapal pengangkut pesawat Amerika yang bersiap sedia dekat Semenanjung Korea dengan Korea Utara berterusan melakukan ujian tembakan peluru berpandu.
Agensi

Seoul: Jepun bakal menerima kesan terburuk dengan diseliputi awan radioaktif jika perang nuklear meletus antara Korea Utara dengan Amerika Syarikat.

Pyongyang memberi amaran itu ketika ketegangan ketenteraan dengan Amerika yang menempatkan armadanya di perairan dekat Korea Utara serta melengkapkan Korea Selatan dengan sistem penangkis peluru berpandu THAAD yang kini sudah beroperasi sepenuhnya.

Akhbar kerajaan Korea Utara, Rodong Sinmun, melaporkan: “Yang pertama, Jepun iaitu rakan sekutu logistik dan pangkalan Amerika akan diseliputi awan radioaktif jika perang nuklear meletus di Semenanjung Korea.

Menurut agensi berita Yonhap, akhbar itu mendakwa menyerang Jepun adalah kerja mudah kepada Korea Utara.

“Bukan hanya mereka yang cuba menyerang kami, malah penyokong mereka juga tidak akan selamat jika perang berlaku,” kata akhbar itu yang mencadangkan Jepun perlu berusaha meredakan ketegangan.

Hari ini, China mendesak semua pihak bertenang dan berhenti melakukan tindakan provokasi antara satu sama lain, sehari selepas Korea Utara menyatakan Amerika sedang mendorong perang nuklear di wilayah itu.

Amerika mendesak China supaya campur tangan lebih besar dalam program nuklear dan peluru berpandu sekutunya, Korea Utara.

Amerika menghantar kapal pengangkut pesawat nuklear ke perairan Semenanjung Korea. Dua pesawat pengebom strategiknya terbang ketika latihan bersama dengan Korea Selatan dan Jepun minggu ini.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 4 Mei 2017 @ 7:09 PM