KAPAL pengangkut pesawat tentera Amerika Syarikat, USS Carl Vinson dikerah ke Lautan Pasifik, semalam.  - AP
KAPAL pengangkut pesawat tentera Amerika Syarikat, USS Carl Vinson dikerah ke Lautan Pasifik, semalam. - AP
Agensi

Washington: Tentera Laut Amerika Syarikat (AS) semalam berkata, ia mengerah sekumpulan kapal penyerang yang diketuai sebuah kapal pengangkut pesawat ke Semenanjung Korea, tindakan yang dianggap untuk mempamerkan kekuatannya kepada Korea Utara.

Tindakan itu dijangka mencetuskan ketegangan di rantau berkenaan dan ia dilakukan selepas serangan peluru berpandu Amerika Syarikat ke atas Syria.

Korea Utara kelmarin mengecam serangan AS di Syria dengan menyifatkannya sebagai ‘pencerobohan yang tidak boleh dimaafkan’ dan sesuatu yang mewajarkannya untuk memajukan senjata nuklearnya.

Jurucakap Markas Pasifik AS, Komander Dave Benham berkata, tindakan mengerahkan pasukan kapal penyerang itu ialah langkah bagi mengekalkan kebersediaan dan kehadirannya di Pasifik Barat.

“Ancaman nombor satu di rantau berkenaan masih Korea Utara kerana kedegilannya berkait dengan program ujian misil dan hasratnya untuk meningkatkan kemampuan senjata nuklearnya,” kata Benham.

Kumpulan kapal itu, termasuk kapal pengangkut pesawat USS Carl Vinson, pada mulanya dijadual belayar ke Australia, tetapi kini berlepas menuju ke Lautan Pasifik Barat dari Singapura.

Pyongyang dikatakan berusaha menghasilkan peluru berpandu jarak jauh yang mampu dilengkapi peledak nuklear menjejaki tanah besar AS dan setakat ini sudah melakukan lima ujian nuklear, dua daripadanya tahun lalu.

Negara itu dijangka mengadakan ujian peluru berpandu merentas benua atau sesuatu yang serupa pada 15 April ini sempena ulang tahun kelahiran ke-105 mendiang pengasas negara itu, Kim Il-Sung yang disambut setiap tahun.

Sementara itu, pakar memberi amaran, sebarang serangan AS ke atas Korea Utara dalam jarak dekat mungkin mengancam orang awam di Korea Selatan walaupun ia akan memberi lebih banyak kesan dari segi ketenteraan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 10 April 2017 @ 9:30 AM