RAKAMAN video puting beliung debu menerbangkan istana belon ke udara di tengah China.
RAKAMAN video puting beliung debu menerbangkan istana belon ke udara di tengah China.
Agensi

BEIJING: Dua kanak-kanak terbunuh manakala 20 cedera selepas puting beliung debu menerbangkan istana belon ke udara di tengah China, hari ini.

Daily Mail melaporkan, rakaman mengerikan itu memaparkan sebuah rumah belon berputar di sekeliling tornado ketika orang ramai lari menyelamatkan diri di sebuah tapak pameran yang sibuk di daerah Yucheng, wilayah Henan, semalam.

Selain dua kematian, satu kanak-kanak mengalami kecederaan serius manakala 17 yang lain cedera ringan, termasuk dua orang dewasa, menurut kerajaan daerah Yucheng.

Video yang diterbitkan di media sosial China itu juga memaparkan beberapa orang dewasa memegang erat tangan anak-anak mereka ketika khemah berwarna dan gerai makanan diterbangkan puting beliung.

Seorang ibu, dikenali sebagai Li yang bersama anaknya di tempat kejadian memberitahu, dia melihat dua kanak-kanak jatuh dari ketinggian sekurang-kurangnya 20 meter selepas ditarik ke dalam udara semasa kemalangan menakutkan itu.

“Semua ibu bapa panik mencari anak-anak mereka,” katanya kepada pemberita Beijing News.

Kanak-kanak yang cedera parah menjalani pembedahan di hospital dan kini berada dalam keadaan stabil, mereka yang cedera ringan turut dirawat, menurut kenyataan oleh kerajaan daerah Yucheng.

Menurut pemerhatian meteorologi Wilayah Henan, puting beliung debu itu berukuran kira-kira 10 meter diameter dan bertahan selama tiga hingga empat minit.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 1 April 2019 @ 9:04 PM