RIBUAN rakyat New Zealand daripada pelbagai agama membanjiri bandar South Island, hari ini bagi mengikuti upacara memperingati 50 mangsa yang terkorban dalam serangan ganas di dua masjid di Christchurch. FOTO AFP
RIBUAN rakyat New Zealand daripada pelbagai agama membanjiri bandar South Island, hari ini bagi mengikuti upacara memperingati 50 mangsa yang terkorban dalam serangan ganas di dua masjid di Christchurch. FOTO AFP

CHRISTCHURCH: Ribuan rakyat New Zealand daripada pelbagai agama membanjiri bandar South Island, hari ini bagi mengikuti upacara memperingati 50 mangsa yang terkorban dalam serangan ganas di dua masjid di Christchurch.

AFP melaporkan, masyarakat Maori turut memberi penghormatan dengan membuat laungan mengikut tradisi mereka.

Bacaan doa turut dilakukan dan penyanyi British yang sudah memeluk Islam, Cat Stevens atau Yusuf Islam menyampaikan lagu bertajuk ‘Peace Train’.

Ketika semua nama mangsa itu dibacakan, Perdana Menteri, Jacinda Ardern yang turut hadir, kelihatan menundukkan kepalanya sambil berdiam diri.

Upacara itu turut disertai oleh wakil hampir 60 negara termasuk rakan sejawatnya dari Australia, Scott Morrison.

Ardern yang berucap pada majlis itu diberi tepukan gemuruh dari seluruh rakyat dan komuniti Islam yang memuji kebolehannya menangani situasi dengan baik selepas berlakunya tragedi pada 15 Mac itu.

“Keganasan itu wujud, tetapi ia tidak dialu-alukan di sini. Kita tidak pernah lali dengan virus kebencian dan ketakutan. Namun, kita boleh menjadi satu negara yang boleh mencari penawarnya,” ucap Ardern.

Seorang mangsa yang terselamat, Farid Ahmed sempat memberitahu kepada ribuan hadirin bahawa dia memilih keamanan dan memilih untuk memaafkan pengganas yang menembak mati isterinya, Husna.

“Saya memilih keamanan dan saya sudah memaafkannya,” katanya. -AFP

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 29 Mac 2019 @ 10:57 AM