POLIS anti keganasan Australia menggeledah dua rumah yang dipercayai mempunyai kaitan dengan pengganas yang menembak mati 50 jemaah di dua masjid di New Zealand. FOTO Agensi
POLIS anti keganasan Australia menggeledah dua rumah yang dipercayai mempunyai kaitan dengan pengganas yang menembak mati 50 jemaah di dua masjid di New Zealand. FOTO Agensi
AFP

SYDNEY: Polis anti keganasan Australia menggeledah dua rumah awal pagi ini, yang dipercayai mempunyai kaitan dengan pengganas yang menembak mati 50 jemaah di dua masjid di New Zealand, Jumaat lalu.

AFP yang memetik polis berkata, dua rumah itu terletak di bandar Sandy Beach dan Lawrence, New South Wales yang berhampiran bandar Grafton iaitu tempat Brenton Tarrant membesar.

“Tujuan utama serbuan ini adalah untuk mendapatkan apa saja petunjuk yang dapat membantu polis New Zealand melakukan siasatan,” kata polis.

Polis berkata, keluarga Tarrant akan ‘terus membantu polis dalam soal siasat’ namun, tiada maklumat yang menunjukkan terdapat ancaman terbaru di kalangan penduduk.

Tarrant yang obses dengan ideologi ketuanan kulit putih, dikatakan menghabiskan masa remaja di Grafton tetapi sempat menggembara ke seluruh dunia sejak beberapa tahun lalu sebelum menetap di Dunedin, New Zealand.

Dia berdepan dakwaan kes bunuh selepas melakukan tembakan rambang di ketika jemaah ingin menunaikan solat Jumaat di dua masjid di Christchurch hingga menyebabkan 50 orang meninggal dunia manakala 50 lagi cedera.

Selain itu, Menteri Dalam Negeri, Peter Dutton berkata, lelaki itu hanya berada di Australia selama 45 hari dalam tempoh tiga tahun lalu dan namanya tiada dalam mana-mana senarai pengganas dikehendaki.

Dia menolak dakwaan kritikan ‘memalukan’ bahawa agensi anti keganasan mengabaikan ancaman ekstremis berhaluan kanan seperti Tarrant kerana terlalu sibuk memberi fokus terhadap kumpulan radikal Islam

Katanya, agensi utama anti keganasan negara itu, Pertubuhan Risikan Keselamatan Australia (ASIO), sentiasa mengawasi aktiviti kumpulan berhaluan kanan.

“Kumpulan ektremis seperti neo-nazi, ‘white supremacy’, kumpulan pelampau berhaluan kanan, atau apa saja yang gelaran diberikan, mereka sentiasa diawasi,” katanya dalam satu temuramah di televisyen,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 18 Mac 2019 @ 10:55 AM