PASUKAN keselamatan Afghanistan berdiri di tempat kejadian serangan di Jalalabad, Afghanistan. - Foto REUTERS
PASUKAN keselamatan Afghanistan berdiri di tempat kejadian serangan di Jalalabad, Afghanistan. - Foto REUTERS
AFP

JALALABAD: Sekurang-kurangnya tiga orang terbunuh akibat siri serangan pengebom berani mati yang menyasarkan sebuah syarikat persendirian berhampiran lapangan terbang di Jalalabad, Afghanistan.

AFP melaporkan, pengeboman berlaku ketika rundingan sedang dilakukan di Qatar antara Amerika Syarikat dan Taliban untuk menamatkan konflik hampir 18 tahun.

“Dua penyerang meletupkan jaket mereka manakala dua lagi ditembak oleh anggota keselamatan,” kata jurucakap wilayah, Attaullah Khogyani kepada AFP.

Manakala ahli majlis wilayah Nagarhar, Zabihullah Zmarai berkata, pengebom berani mati yang melakukan serangan itu berjaya masuk ke bangunan syarikat pembinaan terbabit, awal pagi tadi.

“Beberapa pekerja syarikat itu terbunuh,” katanya.

Bagaimanapun, setakat ini tiada kumpulan yang mengaku bertanggungjawab terhadap serangan itu.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 6 Mac 2019 @ 4:04 PM