RAKAMAN gambar pada 12 Disember menunjukkan anggota the Taliban bersama tahanan yang ditutupkan matanya di Jalalabad. FOTO AFP
RAKAMAN gambar pada 12 Disember menunjukkan anggota the Taliban bersama tahanan yang ditutupkan matanya di Jalalabad. FOTO AFP
AFP

Jalalabad: Taliban berjanji membawa keamanan, tetapi penduduk di bandar timur Jalalabad dibelenggu ketakutan berikutan serangan kumpulan militan Daesh, selain kemunculan mayat secara misteri di sungai di bandar itu.

Pada sebelah petang, penduduk di wilayah Nangarhar itu akan bergegas pulang sebelum malam kerana bimbang serangan kumpulan militan berkenaan disusuli tindakan balas Taliban.

Penganalisis berkata, Daesh yang pernah 'berkuasa' di Afghanistan semakin aktif sejak Amerika Syarikat (AS) mencapai persetujuan dengan Taliban untuk berundur dari negara itu pada 2020.

Kumpulan militan yang menentang sebarang kompromi dengan Barat itu dipercayai mempunyai kira-kira 2,000 hingga 4,000 pejuang di Afghanistan, menentang 80,000 Taliban.

Perbezaan ideologi Daesh adalah menganggap Taliban hanya mahukan Afghanistan yang bebas daripada kuasa asing, manakala mereka mahukan khalifah Islam yang menjangkau dari Turki ke Pakistan dan seterusnya.

Kumpulan terakhir itu 'dikuatkan' kembali apabila Taliban menguasai negara itu dan membuka penjara, membebaskan ramai pejuang Daesh, kata Ibraheem Bahiss, pakar Afghanistan di Kumpulan Krisis Antarabangsa.

Sejak itu, keganasan terhadap Taliban meningkat, walaupun mereka cuba mengecilkannya, kata Bahiss.

Di ibu pejabat yang dikawal berpuluh-puluh anggota Taliban lengkap bersenjata, ketua perkhidmatan perisikan Nangarhar yang amat digeruni menolak ancaman itu.

Daesh tidak lagi wujud di bandar atau seluruh wilayah itu, kata pegawai berkenaan yang dikenali sebagai Dr Bashir.

Tetapi di Jalalabad, anggota Taliban memberi gambaran yang berbeza.

"Kini, ada sekurang-kurangnya satu serangan seminggu," kata Sajjad, seorang ketua unit Taliban sambil menjelaskan pasukannya dalam keadaan berjaga-jaga setiap masa.

Berkata kepada AFP, Sajjad memberitahu penyerang daripada kumpulan militan itu datang berdua atau bertiga dengan beca bermotor dan menembak mereka menggunakan Kalashnikov atau pistol.

Menurut Abdul Sayed, ahli akademik yang pakar dalam rangkaian jihad, kumpulan itu bertanggungjawab terhadap hampir 100 serangan sejak pertengahan September, kira-kira 85 peratus ditujukan kepada Taliban dan Jalalabad adalah barisan hadapan militan itu.

Serangan berdarah paling teruk adalah letupan bom berani mati di lapangan terbang Kabul ketika puluhan ribu rakyat Afghanistan mahu melarikan diri ketika AS mula berundur dari negara itu.

Lebih 200 terbunuh dalam serangan pada 26 Ogos itu, termasuk 13 anggota perkhidmatan AS.

Taliban berkata, mereka baru-baru ini menghantar 1,500 pejuang untuk menguatkan Jalalabad daripada ancaman Daesh.

"Kami sedang menjejaki pejuang itu siang dan malam," kata Sajjad.

Kira-kira 400 anggota Daesh sudah ditangkap dalam beberapa bulan kebelakangan ini, kata Dr Bashir, namun tidak diketahui berapa ramai antara mereka yang terbunuh.

Bagaimanapun, Taliban dituduh secara rahsia menghapuskan musuh mereka dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengaitkan sekurang-kurangnya 72 pembunuhan, termasuk 50 yang disyaki anggota Daesh di Nangarhar.

Dalam pada itu, timbul kisah-kisah kematian yang menimbulkan kecurigaan seperti mayat ditemukan bulan lalu di sepanjang sungai di pinggir bandar Jalalabad.

Tidak jauh dari kampung Bakhtan, seorang tukang cuci beca memberitahu AFP, dia melihat empat atau lima mayat, manakala seorang peniaga tempatan mengatakan menemukan tiga mayat di sungai bandar itu.

Beberapa sumber di seluruh wilayah memberitahu AFP, sehingga 150 mayat ditemukan secara misteri di sungai.

Di Nangarhar yang mempunyai pengaruh kuat Salafi, warga tua tidak menafikan masyarakat di situ direkrut untuk menjadi militan Daesh dan mereka kini dihukum secara kolektif.

"Tidak semua Salafi adalah ahli Daesh," kata seorang penduduk kepada AFP.

"Selalunya, orang yang tidak bersalah yang ditangkap dan kadang-kadang dibunuh," kata Bahiss yang turut memberi amaran tindakan keras Taliban terhadap golongan Salafi hanya mengundang risiko mengukuhkan Daesh, bukannya melemahkannya.

Bagaimanapun, dia berkata, Daesh belum mempunyai kapasiti untuk beroperasi di luar Afghanistan dan Pakistan.

"Negara Barat memerhati ancaman itu dan mengambilnya dengan serius."

Di Jalalabad, tuduhan terhadap Taliban didiamkan kerana takut akan tindakan balas kerana hanya ada sedikit bukti, selain mayat yang ditemukan sudah dicacatkan dan tidak dapat dikenal pasti.

Taliban dipersalahkan atas pembunuhan itu, tetapi hanya sedikit yang berani bersuara, terutama sejak pembunuhan aktivis Abdul Rahman Mawen pada Oktober lalu.

"Dia meninggalkan majlis perkahwinan, memandu di Jalalabad bersama dua anaknya dan lelaki bersenjata menaiki motosikal menembaknya sehingga mati," kata seorang penduduk yang enggan namanya disiarkan kerana takut dengan tindakan balas.

Wartawan tempatan juga takut, malah ada yang pernah menyiarkan di media sosial mengenai serangan di Jalalabad, tidak lama selepas itu dikunjungi oleh Taliban.

"Tidak akan ada lagi amaran," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 21 January 2022 @ 3:31 PM