10 maut dalam serangan bom di Maka Al Mukaram. FOTO AFP
10 maut dalam serangan bom di Maka Al Mukaram. FOTO AFP
Reuters

MOGADISHU: Serangan bom berani mati di sebuah hotel di sini oleh militan Al Shabaab semalam, mengorbankan sekurang-kurangnya 10 orang dan memusnahkan bangunan di jalanan sibuk ibu kota Somalia itu, kata polis.

Ia adalah serangan paling dahsyat dilakukan di pusat perniagaan sibuk di Maka Al Mukaram yang memiliki hotel, deretan kedai dan restoran, kata pegawai polis, Mejar Mohamed Hussein kepada Reuters.

“Lebih 10 orang maut. Sebuah hotel terbakar dan bangunan lain musnah akibat letupan. Dua puluh mangsa yang cedera dibawa keluar. Kami percaya banyak lagi mayat berada dalam bangunan,” kata pegawai polis, Mejar Abdullahi Ali.

Kumpulan militan Al Shabaab mengaku bertanggungjawab atas serangan itu.

“Kami menyasar dan menyerbu Hotel Maka Al Mukaram. Kami masih berada di dalamnya,” kata jurucakap tentera Al Shabaab, Abdiasis Abu Musab.

Militan itu berkata, pihaknya membunuh 20 orang termasuk pegawai kerajaan dan tentera serta masih berada dalam Hotel Maka Al Mukaram.

Abdullahi bagaimanapun tidak percaya militan masih berada dalam hotel.

“Namun segala-galanya tidak mustahil kerana suasana gelap dalam bangunan disebabkan letupan memutuskan wayar elektrik,” katanya.

Ketika dihubungi kemudian, dia mempertikaikan dakwaan Al Shabaab bahawa lebih banyak kematian, namun berkata jumlah itu mungkin meningkat.

“Ambulans membawa 10 mayat dan 40 lain cedera. Angka maut sudah pasti meningkat kerana kami percaya ada ramai lagi mangsa maut di dalam bangunan hotel dan militan Al Shabaab dijangka berada di dalam,” katanya.

Penduduk yang hampir dengan tempat kejadian letupan berkata, mereka dapat mendengar bunyi tembakan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 1 Mac 2019 @ 10:17 AM