SEORANG lelaki yang cedera dibantu orang ramai selepas serangan bom di Hotel Naso Hablod Two di Mogadishu kelmarin. - Reuters
SEORANG lelaki yang cedera dibantu orang ramai selepas serangan bom di Hotel Naso Hablod Two di Mogadishu kelmarin. - Reuters
Reuters

Mogadishu: Kejadian sebuah hotel yang ditawan sekumpulan militan hampir 12 jam berakhir semalam dengan mengakibatkan sekurang-kurangnya 29 orang terbunuh, kata polis.

Serangan bermula pada jam 5 petang (waktu tempatan) apabila sebuah kereta yang penuh dengan bahan letupan merempuh pagar Hotel Naso Hablod Two sebelum meletup.

Letupan kuat itu memusnahkan bahagian depan hotel tiga tingkat dan sebuah hotel bersebelahan.

Sekumpulan lelaki bersenjata kemudian menyerbu masuk ke dalam hotel itu.

Kejadian berlaku kira-kira dua minggu selepas dua serangan bom berkembar membunuh lebih 350 mangsa dan dianggap terburuk dalam sejarah.

Kumpulan militan al Shabaab mengaku bertanggungjawab melancarkan serangan terbaru itu.

ORANG ramai dan askar melihat bahagian hadapan Hotel Naso Hablod Two yang musnah akibat serangan bom kereta kelmarin. - EPA
ORANG ramai dan askar melihat bahagian hadapan Hotel Naso Hablod Two yang musnah akibat serangan bom kereta kelmarin. - EPA

“Sehingga kini saya dapat sahkan 29 orang terbunuh termasuk 12 anggota polis.

“Bagaimanapun, jumlah kematian mungkin meningkat kerana puluhan lagi mangsa cedera,” kata jurucakap polis, Abdullahi Nur.

Menurutnya, seorang wanita ditemui dipenggal, manakala tiga anaknya ditembak mati.

“Tiga penyerang berjaya ditangkap hidup-hidup dan dua lagi meletupkan diri selepas ditembak.

“Beberapa penyerang lagi mungkin menyamar dan melarikan diri bersama pelanggan hotel yang diselamatkan,” jelasnya.

Serangan itu sekali lagi membuktikan kumpulan militan mempunyai kemampuan melancarkan serangan di ibu kota Somalia itu.

Kumpulan militan al Shabaab mahu menumbangkan kerajaan yang disokong Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu itu dan menubuhkan sebuah negara Islam.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 30 Oktober 2017 @ 8:57 AM