KEADAAN lokasi serangan bom trak di satu persimpangan berhampiran sebuah hotel di tengah Mogadishu kelmarin. - AFP
KEADAAN lokasi serangan bom trak di satu persimpangan berhampiran sebuah hotel di tengah Mogadishu kelmarin. - AFP
Reuters

Mogadishu: Jumlah kematian akibat serangan bom berkembar di tengah bandar ini kelmarin meningkat kepada 137 orang, menjadikannya serangan paling dahsyat sejak pemberontakan tercetus pada 2007.

Presiden Mohamed Abdullahi Farmaajo mengumumkan tiga hari berkabung dan menyeru orang ramai menderma darah serta bantuan lain kepada mangsa.

Sekurang-kurangnya 300 yang lain turut cedera.

Menurut polis, sebuah bom trak meletup di luar sebuah hotel di persimpangan K5 yang dipenuhi pejabat kerajaan, restoran dan gerai kecil, meranapkan beberapa bangunan dan menyebabkan puluhan kenderaan terbakar.

Dua jam kemudian, satu lagi letupan besar berlaku di daerah Medina.

DUA lelaki menarik mayat seorang mangsa yang maut dalam serangan bom trak di Mogadishu kelmarin. - AFP
DUA lelaki menarik mayat seorang mangsa yang maut dalam serangan bom trak di Mogadishu kelmarin. - AFP

“Jumlah kematian meningkat kepada 137 orang dengan kira-kira 300 orang cedera,” kata pegawai polis, Ibrahim Mohamed yang menambah angka kematian mungkin meningkat lagi.

Polis sebelum itu melaporkan 22 orang terbunuh dalam kejadian.

Semalam, polis dan pekerja kecemasan memeriksa runtuhan bangunan dan menemui puluhan mayat yang kebanyakannya rentung.

Beratus-ratus orang datang ke tempat kejadian untuk mencari anggota keluarga mereka yang hilang dengan polis turut mengepung lokasi itu atas sebab keselamatan.

Sehingga kini tiada pihak yang mengaku bertanggungjawab.

Bagaimanapun, serangan itu dipercayai dilakukan kumpulan militan al Shabaab yang bersekutu dengan rangkaian pengganas al-Qaeda.

Kumpulan itu sering melancarkan serangan di ibu kota Somalia dan bahagian lain di negara berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 16 Oktober 2017 @ 8:28 AM