AFP

Mogadishu: Jumlah kematian selepas militan Al-Shabaab menyerang dan menawan sebuah hotel di ibu negara Somalia selama tempoh 30 jam, meningkat kepada 21 orang, kata Menteri Kesihatan Ali Haji Adan pada Ahad.

Masyarakat negara itu kini masih dalam keadaan bimbang mengenai nasib keluarga mereka yang dilaporkan hilang.

Serangan senjata dan bom kumpulan yang mempunyai kaitan dengan Al-Qaeda itu menyebabkan sebahagian struktur bangunan runtuh.

Kebimbangan juga tercetus mengenai nasib mangsa yang mungkin terperangkap di dalam hotel itu, sejak serangan di bangunan itu, pada Jumaat lalu.

"Kementerian Kesihatan mengesahkan 21 kematian dengan 117 lagi cedera selain 15 daripadanya parah," kata Adan.

Pekerja kecemasan dan pakar pemusnah bom sudah berada di lokasi untuk mengesan bahan letupan selain mengalihkan sisa runtuhan.

Pesuruhjaya polis, Abdi Hassan Mohamed Hijar berkata, seramai 106 mangsa termasuk kanak-kanak dan wanita diselamatkan, yang insiden yang berakhir tengah malam Ahad.

Ketika serangan dan letupan berlaku, pasukan keselamatan berjaya membawa keluar orang awam termasuk tiga kanak-kanak yang bersembunyi di dalam tandas.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 22 Ogos 2022 @ 10:03 AM