GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN
Reuters

MOGADISHU: Sekurang-kurangnya 26 orang termasuk ramai rakyat asing terbunuh manakala 56 cedera dalam serangan bom berani mati dan tembakan di sebuah hotel popular di selatan Somalia, yang diakui dilaksanakan militan Al-Shabaab.

Serangan malam Sabtu di Kismayu itu menyerbu hotel berkenaan selepas menggunakan bom kereta ketika pemimpin tempatan dan ahli Parlimen bertemu untuk membincangkan pilihan raya wilayah yang bakal diadakan tidak lama lagi.

Empat penyerang dari kumpulan yang dikaitkan dengan al-Qaeda itu turut ditembak mati, kata pegawai polis Mejar Mohamed Abdi kepada Reuters. Keadaan berjaya dikawal pada jam 7 pagi tadi (waktu tempatan).

Mangsa yang maut juga merangkumi sekurang-kurangnya dua wartawan termasuk seorang dari Kanada.

Presiden wilayah Ahmed Mohamed Islam berkata: “Seramai 26 orang maut manakala 56 cedera. Antara yang mati termasuk rakyat asing iaitu tiga dari Kenya, masing-masing seorang Kanada dan Britain, dua warga Amerika serta tiga Tanzania. Dua rakyat China juga cedera.”

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 13 Julai 2019 @ 5:00 PM