ANTARA mangsa yang mendapat rawatan pasukan penyelamat sebelum dibawa ke hospital. -Foto Reuters
ANTARA mangsa yang mendapat rawatan pasukan penyelamat sebelum dibawa ke hospital. -Foto Reuters
AFP

MANILA: Dua terbunuh dalam letupan bom tangan di sebuah masjid di selatan Filipina, awal pagi ini, beberapa hari selepas serangan maut di sebuah gereja Katolik, kata pihak berkuasa.

“Sebutir bom tangan dilemparkan ke dalam masjid, membunuh dua jemaah dan mencederakan empat individu,” kata jurucakap tentera wilayah Leftenan Kolonel Gerry Besana mengenai serangan itu di Zamboanga City.

Katanya, letupan itu berlaku ketika mangsa sedang tidur di dalam masjid yang terletak dalam penempatan majoriti Islam Filipina di Kepulauan Jolo.

Ledakan itu berlaku ketika negara dalam keadaan berjaga-jaga berikutan pengeboman katedral yang membunuh 21 individu pada Ahad lalu di pulau berkenaan.

Kumpulan Negara Islam (IS) dikatakan bertanggungjawab ke atas ledakan di gereja itu.

Pada awalnya, pihak berkuasa Filipina mengakui ia bukan serangan bunuh diri, namun semalam, Presiden Rodrigo Duterte mengeluarkan kenyataan dengan merujuk salah seorang pengebom itu meletupkan dirinya di luar gereja.

Menurut Besana, adalah terlalu awal untuk mengatakan sama ada pengeboman masjid sebagai tindak balas ke atas serangan gereja.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 30 January 2019 @ 3:16 PM