FOTO fail menunjukkan polis melakukan pemeriksaan selepas insiden pengeboman di Gereja Kadetral di Makassar. FOTO AFP
FOTO fail menunjukkan polis melakukan pemeriksaan selepas insiden pengeboman di Gereja Kadetral di Makassar. FOTO AFP
Agensi

Jakarta: Seramai 36 individu yang disyaki anggota kumpulan pengganas Jamaah Ansharut Daulah (JAD) ditahan oleh skuad antipengganas polis Indonesia (Densus) 88 dengan kerjasama polis Sulawesi Selatan, semalam.

CNN Indonesia melaporkan, penangkapan itu dilakukan Densus 88 susulan insiden pengeboman bom berani mati pasangan suami isteri di Gereja Katedral, Jalan Kajoalido, daerah Ujung Pandang, Kota Makassar, Sulawesi Selatan pada 28 Mac lalu.

Densus 88 dikatakan masih terus memburu saki baki individu yang menjadi dalang dan ada kaitan dengan insiden berkenaan.

"Setakat hari ini, Densus 88 bersama polis daerah Sulawesi Selatan sudah menangkap seramai 36 individu disyaki pengganas susulan pengeboman di hadapan Gereja Katedral Makassar," jurucakap polis daerah Sulawesi Selatan,, Zulpan di Makassar , kelmarin

Menurut Zulpan, jumlah suspek pengganas yang ditangkap Densus 88 ini bertambah selepas tiga lagi lelaki ditahan di Bandar Makassar, kelmarin.

Zulpan bagaimanapun enggan mengulas lanjut mengenai identiti tiga lelaki ditahan itu kerana mereka masih dalam siasatan.

"Kita belum boleh kongsikan apa peranan setiap seorangnya di dalam kumpulan itu cuma yang jelas mereka ada kaitan dengan insiden pengeboman bunuh diri di Gereja Katedral Makassar," katanya.

Sebelum ini, media melaporkan, pengeboman bunuh diri di luar gereja dekat bandar Makassar pada 28 Mac lalu dilakukan oleh dua anggota kumpulan militan Daish.

Mereka turut dipersalahkan atas letupan gereja lain termasuk serangan maut di Filipina pada 2019.

Dalam insiden di Makassar, itu 20 orang turut cedera.

Selain itu, Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) turut menyifatkan serangan di Makassar sebagai satu keganasan kejam dan pengecut.

Agensi berita Xinhua melaporkan Majlis Keselamatan PBB mahu pelaku bertanggungjawab, penaung serta penaja serangan pengganas itu perlu dibawa ke muka pengadilan.

Badan dunia itu menggesa semua pihak bekerjasama dengan kerajaan Indonesia menangani isu itu.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 23 April 2021 @ 5:44 PM