ANGGOTA polis sedang mengawal keadaan di Laminan yang majoriti penduduk Kristian. FOTO/REUTERS
ANGGOTA polis sedang mengawal keadaan di Laminan yang majoriti penduduk Kristian. FOTO/REUTERS
AFP

COTABATO (FILIPINA): Sekurang-kurangnya lima maut dalam satu letupan di pos pemeriksaan tentera di selatan Filipina hari ini.

Menurut jurucakap tentera, Leftenan Kolonel Gerry Besana, letupan itu berlaku ketika pasukan kerajaan dan militan pro kerajaan sedang memeriksa sebuah van yang berhenti di pusat pemeriksaan awal pagi tadi.

Letupan kuat berkenaan membunuh sekurang-kurangnya seorang anggota tentera dan beberapa anggota militan di pinggir bandar majoriti Kristian, Laminan yang terletak dalam pulau dikuasai penduduk beragama Islam, Basilan.

Pihak berkuasa telah melancarkan siasatan berhubung letupan berkenaan.

Pegawai tempatan, Mujiv Hataman berkata, suspek dipercayai telah melarikan diri selepas mendapati dia menjadi buruan pihak berkuasa.

Basilan adalah kubu kuat kumpulan militan Abu Sayyaf yang memiliki pertalian dengan Al Qaeda dan dikatakan bertanggungjawab dalam letupan terburuk pernah berlaku di negara berkenaan.

Abu Sayyaf adalah antara kumpulan bersenjata yang memerangi kerajaan di selatan Filipina dalam siri pemberontakan sejak berpuluh tahun lalu dan meragut lebih 100,000 nyawa.

Presiden Rodrigo Duterte baru-baru ini menandatangani undang-undang untuk mewujudkan autonomi Islam yang lebih baik di selatan Filipina, dengan harapan ia akan mengakhiri konflik di kawasan terbabit.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 31 Julai 2018 @ 2:44 PM