KESAN daripada tunjuk perasaan membantah kenaikan harga roti di Sudan. -Foto Reuters
KESAN daripada tunjuk perasaan membantah kenaikan harga roti di Sudan. -Foto Reuters
AFP

KHARTOUM: Lapan penduduk maut selepas bertempur dengan polis anti rusuhan yang cuba meleraikan tunjuk perasaan yang berlangsung pada hari kedua, semalam, di timur Sudan bagi membantah kenaikan harga roti.

Tunjuk perasaan berlaku selepas kerajaan baru-baru ini, bertindak menaikkan harga roti sebanyak AS$0.20 sen hingga AS$0.60 sen (RM0.80 sen hingga RM2.50) di seluruh negara.

Menurut saksi, polis terpaksa melepaskan gas pemedih mata bagi meleraikan peserta demonstrasi yang berkumpul di Khartoum, iaitu berhampiran istana presiden.

“Enam terbunuh, manakala beberapa lagi peserta cedera dalam tunjuk perasaan di Al-Qadarif,” kata seorang saksi, Al-Tayeb Al-Amine Tah kepada stesen penyiaran tempatan Sudania 24, tanpa memberikan butiran lanjut.

Mangsa yang terkorban, termasuk seorang pelajar universiti yang menyertai tunjuk perasaan di Al-Qadarif, yang dilaporkan sebelum ini.

“Keadaan di Al-Qadarif semakin hilang kawalan dan seorang pelajar, Moayed Ahmad Mahmoud terkorban,” kata seorang penggubal undang-undang, Mubarak Al-Nur.

Mubarak turut menggesa pihak berkuasa supaya tidak menggunakan kekerasan bagi menangani penunjuk perasaan, yang hanya mahu mengadakan bantahan secara aman.

Sementara itu, jurucakap gabenor, Ibrahim Mukhtar, berkata dua lagi mangsa maut ketika menyertai bantahan di bandar Atbara, yang terletak kira-kira 400 kilometer di timur Khartoum.

Polis terpaksa melepaskan gas pemedih mata ke arah penunjuk perasaan beberapa jam selepas pihak berkuasa mengumumkan perintah berkurung di Atbara.

Keputusan itu diambil apabila peserta demonstrasi bertindak membakar ibu pejabat parti pimpinan Presiden Omar Al-Bashir, iaitu Parti Kongres Kebangsaan (NCP).

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 21 Disember 2018 @ 1:02 PM