PENUNJUK perasaan mogok duduk memprotes keganasan di Sudan, di luar Rumah Putih di Washington, DC. FOTO AFP
PENUNJUK perasaan mogok duduk memprotes keganasan di Sudan, di luar Rumah Putih di Washington, DC. FOTO AFP
AFP

KHARTOUM: Polis Sudan melepaskan gas pemedih mata untuk meleraikan kumpulan penunjuk perasaan yang cuba menutup beberapa jalan pada hari pertama kempen antikerajaan, semalam.

AFP melaporkan, kumpulan terbabit mengumpulkan tayar, batang pokok serta batu untuk menghalang laluan di daerah Bahari, utara Khartoum sebelum dilepaskan gas pemedih mata, kata saksi.

“Hampir semua jalan dalam di Bahari ditutup. Kumpulan penunjuk perasaan turut menghalang penduduk untuk ke tempat kerja,” kata saksi terbabit.

Ia tindakan terbaru dilakukan penunjuk perasaan di ibu kota Sudan selepas hampir seminggu insiden tunjuk perasaan di luar ibu pejabat tentera yang mengorbankan lebih sepuluh nyawa.

Insiden itu mendorong Persatuan Profesional Sudan (SPA) yang melancarkan protes untuk menyingkirkan Presiden Omar al-Bashir pada Disember lalu, memulakan kempen terbabit.

Menurut SPA, pergerakan itu hanya akan ditamatkan apabila pentadbiran tentera melepaskan kuasa kepada pihak berkuasa kerajaan sementara.

Sehingga kini penduduk masih berada dalam kebimbangan selepas insiden keganasan itu meragut nyawa sekurang-kurangnya 115 orang, kata pasukan doktor yang mempunyai kaitan dengan penunjuk perasaan.

Kementerian Kesihatan pula berkata, seramai 61 orang mati di seluruh negara dan 49 daripada mereka maut akibat terkena tembakan di Khartoum.

Kumpulan penunjuk perasaan berkampung selama beberapa minggu di bandar itu untuk memberi tekanan kepada pentadbiran tentera untuk menyerahkan kuasa namun rundingan antara dua pihak itu gagal mencapai keputusan.

Perdana Menteri Ethiopia, Abiy Ahmed tiba di Sudan pada Jumaat lalu untuk meneruskan perbincangan itu, mengadakan mesyuarat dengan dua pihak selepas dia menggesa satu peralihan kuasa secara demokrasi dilakukan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 10 Jun 2019 @ 10:01 AM