OMAR  mengisytiharkan Sudah darurat selama setahun.
OMAR mengisytiharkan Sudah darurat selama setahun.
AFP

Khartoum: Presiden Sudan, Omar Al Bashir, mengisytiharkan darurat selama setahun di seluruh negara bermula semalam dan membubarkan kerajaan sebagai usaha membendung rusuhan yang menggugat rejim diktator pimpinannya.

Tindakan kerajaan menaikkan harga roti tiga kali ganda pada 19 Disember lalu menyebabkan rusuhan yang membawa maut tercetus di negara Afrika timur itu apabila rakyat menuduh barisan kepimpinan gagal menguruskan ekonomi Sudan, sekali gus mendesak Bashir melepaskan jawatan.

“Saya mengumumkan darurat seluruh negara selama setahun dan turut mengumumkan pembubaran kerajaan di peringkat persekutuan serta wilayah,” kata Bashir secara langsung di televisyen dari istana presiden di Khartoum.

Penunjuk perasaan berikrar akan meneruskan demonstrasi sehingga Bashir melepaskan jawatan.

“Kami menggesa rakyat meneruskan tunjuk perasaan sehingga matlamat utama tercapai iaitu peletakan jawatan ketua rejim kuku besi,” kata Persatuan Profesional Rakyat Sudan yang mengetuai tunjuk perasaan berkenaan.

Lewat malam tadi, peserta tunjuk perasaan memenuhi jalan-jalan di bandar berkembar Khartoum, Omdurman namun segera disuraikan polis antirusuhan menggunakan gas pemedih mata.

Beberapa jam selepas membuat pengumuman, Bashir mengeluarkan dua perintah presiden, melantik 16 pegawai tentera dan dua pegawai keselamatan sebagai gabenor baru di kesemua 18 wilayah.

Dia turut mengumumkan bahawa lima anggota kabinet bagi beberapa portfolio termasuk hal ehwal luar, pertahanan dan kehakiman kekal di jawatan masing-masing.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 23 Februari 2019 @ 11:12 AM