Kasut tumit tinggi berharga RM70 juta. FOTO Jada Dubai/Instagram
Kasut tumit tinggi berharga RM70 juta. FOTO Jada Dubai/Instagram
AFP

DUBAI: Kasut tumit tinggi dihiasi emas, sutera dan ratusan berlian berharga AS$17 juta (RM70 juta) dikatakan pembuatnya sebagai termahal di dunia kini dibuka untuk jualan.

Ketika beberapa jenama fesyen terkemuka seluruh dunia bergelut menjual pakaian mewah, Jada Dubai yang berpangkalan di Dubai adalah syarikat rekaan yang tidak ramai pengikut di media sosial mendedahkan sepasang kasut tumit tinggi kulit bersalut emas dihiasi berlian.

Setiap kasut menonjolkan permata: berlian sempurna 15 karat berbentuk bulat berhampiran bahagian hujung jari.

“Dubai adalah bandar raya dihuni jutawan dan hartawan.

“Kami melihat ia sebagai pasaran berpotensi selain seluruh rantau Teluk,” kata ketua eksekutif Passion Jewellers, Hemant Karamchandani yang membekalkan barang kemas.

Satu-satunya kasut seumpama itu boleh dibuat mengikut saiz pelanggan selepas mereka membayar harga penuh.

Dubai adalah hab bagi fesyen Teluk dan hos Minggu Fesyen Arab menyaksikan pertambahan bilangan pelancong sejak beberapa tahun lalu dengan lebih 16 juta pelawat mengunjungi negara itu tahun lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 27 September 2018 @ 7:39 PM