Duterte
Duterte
Agensi

Davao: Bakal presiden baru Filipina Rodrigo Duterte semalam mengotakan ancamannya untuk tidak lagi mengadakan sidang media dan memulaukan wartawan.

“Saya minta maaf. Saya memang benar memboikot wartawan,” katanya dalam video yang dimuat naik oleh wartawan stesen televisyen Filipina, TV5, France Noguera, awal semalam.

Apabila ditanya sampai bila dia akan memulaukan media, Duterte berkata: “Sehingga penggal perkhidmatan saya sebagai presiden berakhir.”

Terdahulu, pembantu eksekutif Duterte, Christopher Go memberitahu media, Duterte yang akan menjadi presiden secara rasmi pada 30 Jun ini tidak akan lagi mengadakan sidang akhbar.

Menurutnya, ini bagi mengurangkan kesilapan bakal presiden itu.

Duterte turut menyuarakan rasa kesalnya dalam wawancara dengan wartawan TV5 itu selepas beberapa kenyataan akhbarnya sebelum ini mendapat kecaman hebat.

“Apabila diwawancara, terdapat banyak kesilapan, banyak kritikan saya terima. Lebih baik tidak ada wawancara, supaya tidak ada kritikan, tidak ada kenyataan yang tersilap, tidak ada apa-apa,” katanya apabila disoal mengapa dia mengambil keputusan berhenti menemui media.

Menurutnya, pengumuman kerajaan akan dilakukan menerusi stesen televisyen milik kerajaan, PTV.

Duterte yang menjadi Datuk Bandar Davao selama hampir 30 tahun mempunyai hubungan rapat dengan wartawan tempatan bandar berkenaan.

Tetapi, dalam sidang akhbar yang dihadiri media lain, dari Manila dan juga luar negara, dia membuat beberapa kenyataan yang mencetuskan kontroversi.

Dia dikritik media tempatan dan antarabangsa selepas ditanya mengenai pembunuhan wartawan di Filipina, antara negara paling berbahaya untuk wartawan.

“Kebanyakan yang mati itu melakukan kesalahan. Anda tidak akan dibunuh jika tidak melakukan kesalahan,” katanya.

Kelmarin, ketika berucap meraikan kemenangannya dalam pilihan raya presiden, Duterte dilapor menggesa orang awam menembak mati pengedar dadah dan berjanji memberikan hadiah kepada mereka yang membantu kerajaannya memerangi jenayah.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 7 Jun 2016 @ 9:41 AM