RASHIDA Tlaib. FOTO Facebook Rashida Tlaib
RASHIDA Tlaib. FOTO Facebook Rashida Tlaib
Agensi

BEKAS ahli perwakilan negeri Michigan, Amerika Syarikat, Rashida Tlaib bakal menjadi wanita Islam pertama menjadi anggota Kongres selepas memenangi pengundian parti Demokrat sekali gus mewakili daerah ke-13 Michigan, Amerika Syarikat.

Dengan disaingi ramai calon lain untuk menggantikan John Conyers Jr, yang berkhidmat sejak 1965, sehingga bersara tahun lalu berikutan beberapa kali dituduh melakukan gangguan seksual.

Rashida mengambil 33.6 peratus undi selepas mendapat bantuan akar umbi untuk berkempen hingga mampu mendapat AS$1 juta (RM4.3 juta).

Tiada calon Republikan lain bertanding untuk mendapat kerusi itu membolehkan Tlaib memasuki Kongres tanpa sebarang hadangan selepas pemilihan khas pada 6 November 2018 apabila beliau secara rasminya menggantikan Conyers.

Pencabar terdekatnya ialah Presiden Majlis Detroit, Brenda Jones, yang mendapat 28.5 peratus, meskipun lebih dikenali serta disokong beberapa penaja berpengaruh, lapor The Independent.

Rashida adalah anak perempuan kepada imigran Palestin yang dilahirkan di Detroit pada 1976. Bapanya bekerja di syarikat kenderaan Ford. Dia mengambil jurusan politik di Universiti Wayne State dan seterusnya jurusan undang-undang sebelum tamat pengajian pada 2004.

Rashida sebelum ini adalah anggota Dewan Perwakilan Michigan, kali pertama menang pada 2008 dan wanita Muslim kedua berkhidmat di Dewan Undangan Negeri selepas Jamilah Nasheed dari Missouri.

Kemenangannya dicapai selepas apa yang dilihat sebagai peningkatan ‘Islamofobia’ di seluruh Amerika berikutan pemilihan Donald Trump pada 2016 selain sikap anti imigran.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 8 Ogos 2018 @ 10:06 PM