GAMBAR fail (kiri) mayat mangsa pembunuhan beramai-ramai penduduk Islam di Nellie, Assam, pada 1983. Gambar kanan, Abdul Suban dan isterinya. - Fail/Reuters
GAMBAR fail (kiri) mayat mangsa pembunuhan beramai-ramai penduduk Islam di Nellie, Assam, pada 1983. Gambar kanan, Abdul Suban dan isterinya. - Fail/Reuters

NELLIE, INDIA: Tiga puluh enam tahun selepas kehilangan ibu bapa, kakak dan anak perempuan berusia empat tahun dalam pembunuhan beramai-ramai terburuk dalam sejarah India, Abdul Suban kini terpaksa membuktikan beliau ialah rakyat India yang majoriti penduduknya beragama Hindu.

Abdul Suban antara jutaan penduduk Islam berbahasa Benggali di negeri Assam bersempadan dengan Bangladesh yang nama mereka tiada dalam Daftar Kewarganegaraan Kebangsaan (NRC).

“Jika kerajaan memutuskan kami adalah orang asing, apa yang boleh kami buat?

“NRC cuba menghalau kami, namun kami tidak akan meninggalkan tempat ini,” kata lelaki berusia 60 tahun itu.

Beliau menetap bersama isterinya, tidak jauh dari sawah padi yang menjadi lokasi penduduk Islam dikejar dan dibunuh penduduk Hindu bersenjata parang yang mahu menghalau mereka kerana dianggap pendatang Islam pada 1983.

Abdul Suban terselamat selepas berjaya melepaskan diri dengan bersembunyi dalam hutan selama beberapa hari.

Dalam kejadian terburuk itu, kira-kira 2,000 penduduk yang dianggap pendatang, sebahagian besarnya beragama Islam dan ramai daripadanya adalah kanak-kanak, dibunuh dalam sehari di Nellie.

Mangsa yang terselamat dalam ‘Pembunuhan Beramai-ramai Nellie’ membabitkan puluhan perkampungan itu memberitahu mereka mengebumikan mayat dalam kubur besar.

Semalam, India membatalkan kerakyatan empat juta penduduk Assam yang mencetuskan kebimbangan kemungkinan pengusiran beramai-ramai penduduk Islam berbahasa Benggali berasal dari Bangladesh.

NRC yang dipamerkan semalam, hanya mengandungi penduduk yang berjaya membuktikan mereka tinggal di Assam sebelum 1971.

Ratusan ribu penduduk Bangladesh melarikan diri ke India ketika perang kemerdekaan Bangladesh daripada Pakistan pada 1972.

Kebanyakannya menetap di Assam yang berkongsi ratusan kilometer sempadan dengan Bangladesh.

Pengkritik menganggap tindakan terbaru kerajaan pimpinan Perdana Menteri Narendra Modi bagi memastikan penduduk Hindu kekal majoriti dengan menghalau minoriti.

Kerajaan Modi yang dikuasai parti kebangsaan Hindu menyatakan langkah itu dilakukan bagi membasmi semua pendatang haram, namun sejak berkuasa, keganasan terhadap penduduk Islam di India terus meningkat.

Ketua Pendaftar India, Shailesh berkata, lebih 30 juta membuat permohonan, namun lebih empat juta orang tidak dimasukkan ke dalam senarai berkenaan.

Menurutnya, mereka boleh membuat rayuan mulai 30 Ogos dan senarai NRC berkenaan akan dimuktamadkan pada Disember ini.

Bagi diiktiraf sebagai warganegara India, semua penduduk Assam perlu mengemukakan dokumen membuktikan mereka atau keluarga mereka tinggal di India sebelum 24 Mac 1971.

Menurut Abdul Suban, dia dan bapanya dilahirkan di Assam dan menunjukkan dokumen usang nama bapanya dalam senarai pengundi Assam pada 1965.

Namun, pihak berkuasa menyatakan tidak semua dokumen itu boleh diterima sebagai asli. - Reuters

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 30 Julai 2018 @ 9:42 PM