Keadaan kereta dipandu  Cyrus Matthews yang remuk selepas kemalangan.
Keadaan kereta dipandu Cyrus Matthews yang remuk selepas kemalangan.
Petikan rakaman CCTV remaja 19 tahun,  Cyrus Matthews, berjalan keluar dari bilik mahkamah selepas hakim menjatuhkan hukuman. - Foto DM
Petikan rakaman CCTV remaja 19 tahun, Cyrus Matthews, berjalan keluar dari bilik mahkamah selepas hakim menjatuhkan hukuman. - Foto DM
Agensi

SEORANG remaja 19 tahun melarikan diri dari mahkamah di Ohio selepas hakim menjatuhkan hukuman penjara 60 hari kerana kesalahan pembuli jalan raya membawa kepada dikejar polis sebelum kereta dipandunya terbabit dalam kemalangan dan berjaya ditahan.

Sebaik hakim menjatuhkan hukuman itu, Cyrus Matthews, dari Cleveland, yang berdiri di sebelah peguamnya dengan selamba berjalan keluar dari Mahkamah Daerah Wadsworth, memasuki sebuah kereta dipandu seorang wanita yang menunggu di luar dan memecut kereta itu.

Daily Mail melaporkan, bailif mahkamah cuba mengejarnya namun gagal dan hakim yang terkejut dengan kejadian itu, menjerit supaya remaja itu kembali ke dalam mahkamah.

Menurut polis, Matthews memandu kereta yang menunggu di luar itu dengan laju, 144 kilometer sejam sebelum merempuh sebuah SUV dinaiki satu pasangan serta seorang bayi.

Kereta Matthews hilang kawalan dan merempuh papan tanda sebuah stesen minyak sebelum terhenti.

Pasangan dan bayi mereka dalam SUV itu hanya cedera ringan manakala Matthews dan rakan perempuannya terperangkap dalam kereta yang remuk menyebabkan bomba terpaksa memotong kenderaan itu bagi mengeluarkan mereka.

Matthews dirawat di hospital sebelum dihantar ke Penjara Daerah County bagi menjalani hukumannya sementara menunggu pendakwaan terbaru melarikan diri dari mahkamah.

Hakim, Stephen McIlvaine, berkata tidak pernah berlaku sepanjang beliau menjadi hakim, tertuduh dengan selamba berjalan keluar bagi mengelak dipenjarakan.

“Saya menjerit suruh dia kembali. Saya cuba menjelaskan kepadanya dia akan menghadapi tuduhan jenayah,” katanya kepada ABC5.

Menurutnya, tertuduh bagi kesalahan kecil tidak digari ketika hadir ke mahkamah dan bantuan polis hanya akan diminta jika ada keperluan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 3 November 2017 @ 5:52 PM