PENDUDUK menunggang motosikal meredah jerebu yang berpunca daripada kebakaran tanah gambut di Kampung Suak Raya, Aceh Barat, semalam.  - Antara
PENDUDUK menunggang motosikal meredah jerebu yang berpunca daripada kebakaran tanah gambut di Kampung Suak Raya, Aceh Barat, semalam. - Antara

Aceh: Cuaca panas akibat musim kemarau menyebabkan kebakaran belukar yang berlaku di Aceh Barat terus merebak dan memusnahkan hampir 60 hektar kawasan, kata Badan Pengurusan Bencana Aceh (BPBA) semalam.

“Selepas mendapat laporan kami terus ke kawasan terbabit untuk membantu memadamkan kebakaran. Hingga Ahad lalu hampir 60 hektar kawasan terbakar,” kata Pengarah BPBA, Yusmadi yang dipetik Antara semalam.

Keadaan itu menyebabkan kawasan berhampiran termasuk Kota Meulaboh yang menjadi ibu kota Aceh Barat dilanda jerebu.

Yusmadi berkata, kebakaran belukar itu berpunca daripada aktiviti penduduk yang membersihkan tanah untuk pertanian.

“Penduduk membersihkan belukar dan membakar daun kering yang menyebabkan api merebak hingga ke kawasan hutan,” katanya.

Sementara itu, jurucakap tentera di Aceh, Sudarsono memberitahu, kebakaran belukar di Aceh Barat itu turut membabitkan kawasan tanah gambut. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 25 Julai 2017 @ 10:59 AM