AKTIVIS membuat bantahan di Jakarta semalam selepas Jokowi meluluskan undang-undang yang membolehkan kerajaan mengharamkan kumpulan radikal termasuk HTI. - EPA
AKTIVIS membuat bantahan di Jakarta semalam selepas Jokowi meluluskan undang-undang yang membolehkan kerajaan mengharamkan kumpulan radikal termasuk HTI. - EPA
AFP

Jakarta: Kerajaan Indonesia menguatkuasakan undang-undang yang membolehkan kumpulan yang menentang rukun negara itu diharamkan, satu langkah yang dilihat menyasarkan kumpulan radikal Islam.

Presiden Joko Widodo (Jokowi) menandatangani undang-undang itu semalam ketika kebimbangan mengenai pengaruh kumpulan radikal di negara itu meningkat.

Undang-undang itu memberi kuasa kepada kerajaan mengharamkan tanpa perbicaraan kumpulan yang didapati bertentangan dengan rukun negara atau dikenali sebagai Pancasila.

Pancasila mengandungi lima perkara yang menjadi asas kepada negara Indonesia.

Menteri Keselamatan, Wiranto berkata, langkah itu diambil kerana ada kumpulan yang mengancam kedaulatan negara dan mewujudkan konflik dalam masyarakat.

Bagaimanapun, Wiranto tidak menamakan kumpulan berkenaan.

Namun, aktivis berkata, langkah itu sebenarnya bertujuan mengharamkan Hizbut-Tahrir Indonesia (HTI), kumpulan yang bercita-cita menyatukan semua orang Islam di bawah pemerintahan khalifah.

Kerajaan pada Mei lalu memberitahu, ia bercadang mengambil tindakan undang-undang bagi mengharamkan HTI yang mempunyai ribuan pengikut di Indonesia.

“Undang-undang ini hanya jalan pintas untuk mengharamkan HTI kerana sekiranya kerajaan menggunakan undang-undang berkaitan pertubuhan bukan kerajaan (NGO), ia memakan masa yang lama,” kata pakar perundangan, Bivitri Susanti.

Kumpulan yang menyebarkan ideologi seperti ateisme dan komunis juga diharamkan mengikut undang-undang baru berkenaan.

Wiranto menafikan undang-undang berkenaan bertujuan menyekat kebebasan NGO dan bertentangan dengan demokrasi.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 13 Julai 2017 @ 6:40 AM