AFP dan Reuters

Jakarta: Parlimen Indonesia hari ini meluluskan undang-undang untuk mengharamkan seks luar nikah.

Keputusan sebulat suara ahli parlimen itu disifatkan pengkritik sebagai menghalang kebebasan negara.

Kanun jenayah baharu yang penuh kontroversi itu menerima majoriti undi daripada penggubal undang-undang semasa sidang plenari.

Timbalan Speaker Dewan Rakyat, Sufmi Dasco Ahmad memukul palu menandakan draf kod itu diluluskan dan menjerit sah.

Kelmarin, Reuters melaporkan, perubahan besar rombakan undang-undang membabitkan semakan artikel yang akan menghukum seks di luar perkahwinan dengan penjara sehingga setahun.

Undang-undang itu turut mengharamkan bersekedudukan antara pasangan yang belum berkahwin.

Selain itu, perbuatan menghina presiden dan menyatakan pandangan bertentangan dengan ideologi negara yang dikenali sebagai Pancasila, juga diharamkan.

Dewan Perwakilan Rakyat (DPR). FOTO Agensi
Dewan Perwakilan Rakyat (DPR). FOTO Agensi

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 6 Disember 2022 @ 2:07 PM