Percikan darah dalam bas ahli rombongan penganut Kristian yang diserang di Miya, Mesir, mengorbankan 28 orang. - Foto EPA
Percikan darah dalam bas ahli rombongan penganut Kristian yang diserang di Miya, Mesir, mengorbankan 28 orang. - Foto EPA
Reuters

KUMPULAN bersenjata yang memakai topeng menyerang satu rombongan Kristian Coptic yang dalam perjalanan ke sebuah asrama di gereja, membunuh 28 orang, termasuk kanak-kanak di selatan Mesir, hari ini.

Menurut kenyataan Kementerian Kesihatan Mesir, seramai 25 lagi cedera dalam kejadian itu dan menurut saksi, kumpulan bersenjata itu menahan bas dan kenderaan lain dinaiki kumpulan berkenaan sebelum melepaskan tembakan.

Siaran televisyen tempatan menunjukkan bas dipenuhi kesan tembakan dan percikan darah dengan pakaian serta kasut mangsa berselerak sekitar bas.

Belum ada pihak yang mengaku bertanggungjawab melakukan serangan itu yang berlaku di jalan raya menuju ke asrama Saint Samuel di wilayah Minya.

Difahamkan, kumpulan bersenjata itu datang dengan tiga kenderaan pacuan empat roda.

Petikan siaran televisyen Mesir menunjukkan keadan bas yang diserang. - Foto AFP
Petikan siaran televisyen Mesir menunjukkan keadan bas yang diserang. - Foto AFP

Pemimpin Islam, termasuk Imam Besar Al-Azhar, Ahmed al-Tayeb, yang berada di Jerman, mengutuk keras serangan itu.

“Ia bertujuan memecah-belahkan kestabilan negara. Saya minta semua rakyat Mesir bersatu menghadapi keganasan kejam ini,” katanya.

Mufti Besar Mesir, Shawki Allam, yang turut mengecam keras serangan itu berkata, penyerang terbabit adalah pengkhianat.

Kritsian Coptic yang wujud sejak 2,000 tahun lalu, meliputi 10 peratus daripada 92 juta penduduk Mesir.

Sejak kebelakangan ini, serangan terhadap mereka meningkat dan 70 penganutnya terbunuh sejak serangan bom terhadap gereja mereka di Kaherah, Iskandariah dan Tanta yang didakwa IS dilakukannya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 26 Mei 2017 @ 11:24 PM