ORANG ramai menangis ketika menghadiri pengebumian mangsa serangan bom di Tanta. - EPA
ORANG ramai menangis ketika menghadiri pengebumian mangsa serangan bom di Tanta. - EPA
Agensi

Kaherah: Presiden Mesir, Abdel Fattah al-Sisi mengisytiharkan darurat selama tiga bulan susulan pengeboman dua gereja oleh kumpulan militan Daish yang mengorbankan puluhan orang ketika sambutan Palm Sunday, kelmarin.

Abdel Fattah mengisytiharkan perintah darurat itu berkuat kuasa jam 1 tengah hari semalam (waktu tempatan), sehari selepas dua serangan bom yang membunuh sekurang-kurangnya 45 orang itu.

Kenyataan Kabinet dikeluarkan semalam berkata: “Pasukan bersenjata dan polis akan melakukan apa yang perlu untuk melawan ancaman pengganas serta pembiayaannya untuk mengekalkan keselamatan negara ini, melindungi orang awam dan harta benda peribadi selain nyawa rakyat.”

Secara teknikal, perintah itu memerlukan kelulusan rasmi Parlimen dalam tempoh tujuh hari.

Abdel Fattah mengisytiharkan darurat dalam ucapan disiarkan langsung di televisyen, lewat Ahad (waktu tempatan).

Perintah darurat - yang pertama di Mesir sejak kemelut politik 2013 - memberi kuasa lebih meluas kepada pasukan keselamatan dalam mengawal ancaman pengganas.

Dalam kejadian itu, pengeboman pertama berlaku di gereja Mar Girgis di bandar Tanta, utara Kaherah, mengakibatkan 28 maut.

Ketika pasukan kecemasan dikejarkan ke tempat kejadian, satu lagi letupan berlaku di gereja di Iskandariah selepas upacara Palm Sunday dimulakan.

Seramai 17 orang termasuk sekurang-kurangnya empat anggota polis terbunuh dalam serangan itu yang menurut Kementerian Dalam Negeri disebabkan pengebom berani mati yang meletupkan dirinya apabila dihalang memasuki gereja berkenaan.

Sekurang-kurangnya 78 cedera di Tanta sementara 40 lagi di Iskandariah, kata Kementerian Kesihatan.

Pegawai Mesir mengecam keganasan itu sebagai cubaan untuk menyemai perpecahan.

Daish melalui satu kenyataan dikeluarkan dalam media sosial mendakwa anggotanya melancarkan kedua-dua serangan itu.

Selepas pengeboman itu, Abdel Fattah mengerahkan tentera menjaga kemudahan penting di negara itu. Laporan turut mengatakan menteri dalam negeri memecat ketua keselamatan wilayah dan menggantikannya selepas serangan itu.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 11 April 2017 @ 7:34 AM