PENDUDUK Palestin berjalan melintasi bangunan kediaman di Gaza yang musnah dibom tentera. - Anadolu
PENDUDUK Palestin berjalan melintasi bangunan kediaman di Gaza yang musnah dibom tentera. - Anadolu
Agensi

GAZA: Usaha damai anjuran Mesir yang menunjukkan perkembangan positif, menjadi pudar selepas pertempuran antara Palestin dengan Israel kelmarin, iaitu paling sengit sejak 2014 menyebabkan banyak pihak bimbang perang terbaru akan tercetus.

Malam Ahad lalu, komando Israel melancarkan operasi menyebabkan tujuh pejuang Palestin, termasuk komander Briged Al-Qassam terbunuh, selain seorang Kolonel Israel.

Sehari sebelum itu, Perdana Menteri Israel berkata, beliau akan melakukan apa saja bagi mengelak perang baru dengan Palestin.

Isnin lalu, Hamas melancarkan serangan balas dengan membedil ratusan roket serta mortar ke wilayah selatan Israel. Regim Zionis membalas dengan puluhan serangan udara dan bedilan kereta kebal menyebabkan sekurang-kurangnya tujuh lagi penduduk Palestin terbunuh.

Serangan Israel itu memusnahkan sejumlah besar bangunan, termasuk stesen televisyen Al-Aqsa dan hotel serta bangunan lain.

Semalam, Hamas yang mentadbir Semenanjung Gaza, bersetuju dengan gencatan senjata tajaan Mesir, PBB dan Qatar jika Israel menghentikan provokasi sekali gus mengelak tercetusnya perang baru.

Tidak siapa tahu tujuan kumpulan komando Israel menyusup masuk ke Gaza Ahad lalu, tindakan yang dianggap provokasi oleh Zionis kerana Israel sendiri menyedari ia boleh menyebabkan perang.

AlJazeera melaporkan, jurucakap tentera Israel enggan menafikan tujuan operasi itu sama ada membunuh atau menangkap penduduk Palestin.

Namun, yang pasti kejadian itu membawa Palestin dan Israel semakin hampir ke ambang peperangan. Kedua-dua pihak sudah tiga kali berperang dengan kali terakhir pada 2014.

ROKET yang dilancarkan pejuang Hamas di Gaza ke arah sempadan Israel. - AFP
ROKET yang dilancarkan pejuang Hamas di Gaza ke arah sempadan Israel. - AFP

Reuters melaporkan semalam, kenyataan bersama pasukan bersenjata Palestin di Gaza berkata, mereka akan mematuhi gencatan senjata tajaan Mesir itu dengan syarat Israel juga berbuat demikian dan tidak memprovokasi.

Hamas serta kumpulan bersenjata Palestin yang lain membedil lebih 400 roket dan mortar serta satu serangan peluru berpandu yang mengejutkan terhadap bas tentera Israel menyebabkan seorang askar Zionis cedera.

Tidak lama selepas pengumuman gencatan senjata itu, ratusan penduduk Palestin berarak di jalan raya meraikan kemenangan mereka.

Sementara itu, Pertubuhan Pembebasan Palestin (PLO) dalam kenyataan menegaskan Israel bertanggungjawab penuh terhadap pertempuran sejak Isnin lalu, dan mendesak masyarakat antarabangsa melindungi penduduk Palestin.

Penganalisis politik Palestin-Amerika, Mohammad Oweis memberitahu Al Jazeera, gencatan senjata itu hanya akan bertahan selagi Israel tidak melakukan provokasi terhadap Palestin.

“Israel yang melakukan provokasi hingga mencetuskan pertempuran terbaru ini. Mereka (Israel) yang perlu berhenti,” jelasnya.

Israel mengepung Semenanjung Gaza sejak 11 tahun lalu selepas pergerakan Hamas menang besar dalam pilihan raya umum dan mentadbir wilayah itu.

Sejak itu Israel dan Hamas berperang tiga kali dengan yang terakhir pada 2014 menyebabkan lebih 2,200 penduduk Palestin terbunuh, majoritinya orang awam.

ASKAR Israel melihat sebuah bas yang terbakar akibat terkena serangan roket oleh pergerakan Hamas. - AFP
ASKAR Israel melihat sebuah bas yang terbakar akibat terkena serangan roket oleh pergerakan Hamas. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 15 November 2018 @ 10:14 AM