Agensi

Riyadh: Presiden Donald Trump tiba di ibu negara Arab Saudi ini se alam untuk memulakan lawatan ke luar negara pertamanya selaku pemimpin Amerika Syarikat.

Lawatan ke luar negara selama lapan hari itu yang akan turut menyaksikan dia melawat Israel dan Vatican sepanjang lapan hari akan datang bermula ketika skandal membabitkan pentadbirannya semakin meningkat di Washington.

Sejurus sebelum pesawat Air Force One yang akan membawa Trump dan rombongannya berlepas dari Washington, bekas ketua Biro Siasatan Persekutuan (FBI) yang dipecat oleh Trump, James Comey dilaporkan bersetuju untuk memberi keterangan secara terbuka mengenai campur tangan Russia dalam pilihan raya Amerika Syarikat November lalu.

Laporan juga timbul mengenai bagaimana Trump memberitahu pegawai Russia bahawa Comey ‘bodoh’. FBI pula dilapor sudah mengenal pasti seorang pegawai kanan Rumah Putih sebagai ‘orang penting’ dalam siasatannya mengenai campur tangan Russia itu.

Di Lapangan Terbang King Khalid di Riyadh, Trump dan isterinya, Melania diberi sambutan permaidani merah sebaik Air Force One mendarat sejurus sebelum jam 10 pagi (3 petang waktu Malaysia).

Turut serta dalam rombongan presiden Amerika Syarikat itu ialah anak Trump yang juga penasihatnya, Ivanka dan suaminya yang juga menjadi penasihat kanan pemimpin itu, Jared Kushner.

Mereka disambut oleh Raja Salman, 81, serta pegawai kanan Saudi yang lain.

Trump dan Salman dilihat mesra antara satu sama lain, berbual menerusi jurubahasa.

Trump kemudian mengadakan rundingan rasmi dengan Salman dan dua putera paling berpengaruh, Putera Mahkota Mohammed bin Nayef dan Timbalan Putera Mahkota Mohammed bin Salman.

Hari ini, Trump akan berucap kepada puluhan pemimpin negara Islam, sesuatu yang dianggap penting selepas ketegangan timbul ekoran cubaan pentadbirannya menguatkuasakan pengharaman perjalanan dengan menyasarkan beberapa negara yang majoriti penduduknya Muslim.

Trump adalah pemimpin pertama Amerika Syarikat memilih Asia Barat dan Eropah sebagai destinasi pertama luar negara. Hampir semua presiden negara itu sebelum ini memilih negara jiran, Kanada atau Mexico.

Dia akan melawat Israel dan wilayah Palestin pada Isnin dan Selasa sebelum ke Vatican dan ke Brussels serta Itali untuk menghadiri
mesyuarat NATO dan G7.

Rumah Putih menganggap lawatan Trump itu sebagai peluang untuk melawat negara yang menjadi tuan rumah kepada tiga agama monotestik terbesar di dunia - Islam, Kristian dan Yahudi.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 21 Mei 2017 @ 7:08 AM