GAMBAR menunjukkan Trump berbual bersama Menteri Luar Syria, Sergei Lavrov (kiri) dan Duta Russia ke Washington, Sergei Kislyak ketika mesyuarat mereka di Rumah Putih 10 Mei lalu.   - EPA
GAMBAR menunjukkan Trump berbual bersama Menteri Luar Syria, Sergei Lavrov (kiri) dan Duta Russia ke Washington, Sergei Kislyak ketika mesyuarat mereka di Rumah Putih 10 Mei lalu. - EPA

Washington: Presiden Amerika Syarikat Donald Trump semalam menegaskan dia berhak berkongsi maklumat sensitif dengan Russia.

Menurutnya, dia bertindak demikian untuk membantu Moscow dalam peperangannya menentang Daish dan keganasan.

“Selaku presiden, saya mahu berkongsi dengan Russia mengenai keganasan dan keselamatan penerbangan dan saya berhak sepenuhnya untuk berbuat demikian,” tulis Trump dalam Twitter.

Mesej itu ditulisnya sehari selepas tersebar laporan mendakwa dia berkongsi maklumat sensitif dengan Menteri Luar Russia, Sergei Lavrov dan duta negara itu ke Washington Sergey Kislyak ketika lawatan mereka ke Rumah Putih minggu lalu.

Trump berkata, dia didorong oleh ‘alasan kemanusiaan dan mahukan Russia meningkatkan peperangan menentang Daish dan keganasan.”

Laporan mengenai Trump membocorkan maklumat yang dianggap rahsia itu disiarkan akhbar The Washington Post dan mengundang kecaman hebat anggota Dewan dari Demokrat dan beberapa anggota Republikan.

Seorang pegawai yang tidak dikenali memberitahu akhbar berkenaan, maklumat yang dibocorkan kepada Russia itu diperoleh daripada rakan perisikan Amerika Syarikat menerusi perjanjian perkongsian perisikan. Mereka berkata, maklumat itu amat sensitif hinggakan butir mengenainya dirahsiakan daripada sekutu Washington sendiri dan juga dalam kalangan pegawai kanan kerajaan. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 17 Mei 2017 @ 9:47 AM