BERNAMA

Washington: Bekas presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump mengaku tidak bersalah pada Selasa, atas 37 pertuduhan yang difailkan oleh pendakwa raya persekutuan berkaitan dakwaan beliau menyimpan dokumen sulit kerajaan selepas penggal pentadbirannya berakhir.

Trump membuat pengakuan itu seperti yang dijangka semasa perbicaraannya di mahkamah persekutuan di Miami, Florida, menurut beberapa laporan.

Beliau dijadual menyampaikan ucapan umum pada malam Selasa, dari kelab golfnya di Bedminster, New Jersey, menurut Agensi Anadolu.

Trump dilihat duduk sambil menyilangkan tangannya sepanjang perbicaraan dan tidak bercakap melainkan berbisik kepada Todd Blanche, seorang peguam yang mewakilinya, menurut akhbar The Washington Post.

Hakim Daerah AS Jonathan Goodman memaklumkan Trump bahawa beliau akan mengarahkan bekas presiden supaya tidak berinteraksi dengan mana-mana saksi kes atau defendan bersama kes itu, Walt Nauta.

DONALD Trump. FOTO fail Reuters
DONALD Trump. FOTO fail Reuters

Dalam pada itu, kekecohan tercetus semasa Trump meninggalkan kamar mahkamah, dengan penunjuk perasaan – kedua-duanya penyokong dan penentang – bergegas ke hadapan konvoi bekas presiden itu.

Trump sebelum ini didakwa atas 34 pertuduhan memalsukan rekod perniagaan ketika dihadapkan di Mahkamah Jenayah Manhattan di New York City.

Ia menjadikan beliau menjadi bekas presiden pertama AS yang didakwa dengan kesalahan jenayah.

Dalam kes terbaharu itu, 37 pertuduhan dihadapi Trump itu termasuk 31 pertuduhan sengaja menyimpan maklumat pertahanan negara, kebanyakannya berhubung kait dengan dokumen yang dirampas FBI, semasa menggeledah kediaman di estet Mar-a-Lago miliknya pada 8 Ogos tahun lalu.

Sementara itu, Trump mengulangi dakwaan bahawa pertuduhan ke atasnya bermotifkan politik bagi menjejaskan reputasi beliau.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 14 Jun 2023 @ 11:59 AM