TRUMP bersama beberapa pemimpin agama di Rose Garden, Washington, semalam.  - AP
TRUMP bersama beberapa pemimpin agama di Rose Garden, Washington, semalam. - AP
AP

Washington: Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump berkata semalam, kunjungan pertamanya ke luar negara selaku presiden akan menyaksikan dia melawat Arab Saudi, Israel dan Vatican hujung bulan ini sebelum menghadiri mesyuarat NATO di Brussels dan menghadiri sidang kemuncak G7 di Itali.

Pegawai kanan pentadbirannya berkata, Trump memilih Arab Saudi sebagai perhentian pertamanya untuk membuktikan komitmennya membaiki hubungan Amerika Syarikat dengan dunia Islam.

Dia dijadual berunding dengan Raja Salman dan pemimpin lain bagi berbincang mengenai usaha menumpaskan keganasan serta menangani pemahaman radikal, kata pegawai itu yang enggan dikenali.

Bercakap di satu perhimpunan ketua agama di Rose Garden, Trump berkata, kunjungan pertamanya ke luar negara akan bermula dengan ‘perhimpunan bersejarah di Arab Saudi dengan pemimpin negara Islam.”

“Arab Saudi ialah penjaga dua tempat paling suci dalam Islam dan di sanalah kami akan mula membina asas kerjasama baru dan sokongan dengan sekutu Muslim kita bagi memerangi keganasan dan fahaman pelampau,” kata Trump.

Menteri Luar Saudi, Adel al-Juberi berkata di Washington, lawatan Trump itu akan memberi mesej jelas bahawa Amerika Syarikat tidak menyimpan dendam terhadap negara Islam. Dia menuduh Iran dan kumpulan ekstremis seperti Daish sengaja menyebarkan salah faham berkenaan.

Pengumuman mengenai lawatan itu dibuat selepas perbincangan antara Trump dengan Presiden Palestin, Mahmoud Abbas serta ikrarnya untuk menjadi orang tengah dalam usaha damai antara Israel dan Palestin.

Ini kali pertama seorang presiden Amerika Syarikat memilih negara Islam sebagai negara pertama untuk dilawati selepas menjadi presiden.

Presiden sebelum ini memilih negara sekutu Amerika Syarikat, seperti Kanada, Britain dan Jerman.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 6 Mei 2017 @ 12:03 AM